14 pegawai SPRM Perak terima tauliah kuliah profesional dari Jabatan Mufti Negeri Perak
IPOH – Peranan masjid sebagai pusat pendidikan berteraskan kepakaran profesional terus diperkukuh apabila seramai 14 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menerima pentauliahan khas profesional daripada Jabatan Mufti Negeri Perak, sekali gus membolehkan mereka menyampaikan kuliah mengikut bidang kepakaran masing-masing di masjid dan surau.
Pentauliahan dikenali sebagai Perakuan Profesional Masjid (PPM) itu diberikan selepas kesemua pegawai berkenaan berjaya melepasi proses saringan serta penilaian Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Negeri Perak.
Majlis pentauliahan berkenaan diadakan sempena Program Muqabalah Mahabbah dan Majlis Penyampaian Sijil Kebenaran Menyampaikan Kuliah Profesional Negeri Perak Siri 2 Tahun 2025, yang disempurnakan oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim di Kompleks Islam Negeri Perak, di sini semalam.
Pada majlis tersebut, Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed mendahului senarai penerima pentauliahan, diikuti Timbalan Pengarah Operasi, Timbalan Pengarah Pencegahan serta beberapa pegawai kanan SPRM Perak.
Selain pegawai SPRM, seramai 60 peserta daripada pelbagai agensi dan organisasi turut menerima sijil pentauliahan, termasuk wakil Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lembaga Tabung Haji dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Perak.
Tauliah khas itu turut dianugerahkan kepada wakil As Salihin Trustee Cawangan Perak, mutawwif, penggerak motivasi dan dakwah serta individu berkemahiran dalam bidang bahasa Arab.
Program berkenaan bertujuan memberi pengiktirafan kepada golongan profesional dan penjawat awam untuk menyampaikan kuliah berdasarkan kepakaran masing-masing, sekali gus membantu jemaah masjid memperoleh kefahaman yang lebih praktikal berkaitan isu kehidupan seharian selari dengan nilai-nilai Islam.
Inisiatif itu juga diharap dapat meningkatkan kesedaran awal masyarakat terhadap pelbagai isu termasuk kesihatan, kekeluargaan, pengurusan harta dan sosial berpandukan latar belakang profesional para penceramah.
Antara prinsip asas pentauliahan khas profesional tersebut ialah menegaskan peranan masjid sebagai ruang amanah dan pendidikan, bukan platform mempromosikan diri atau perniagaan, selain memastikan kandungan penyampaian bersifat umum, mendidik dan mencegah tanpa menjurus kepada pemberian hukum syarak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


