BERITA SEMASAGAYA HIDUP

100 mahasiswa USIM turun padang bantu mangsa banjir di Sepang

NILAI – Seramai 100 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turun padang membantu mangsa banjir menerusi Program Sukarelawan Pasca Banjir USIM melibatkan kawasan terjejas di sekitar Sepang dan Labu Lanjut, Selangor, baru-baru ini.

Program berkenaan dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (MPP USIM) dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) serta Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) sebagai usaha menyantuni komuniti setempat yang terkesan akibat bencana banjir.

Sukarelawan USIM
Beberapa sukarelawan wanita membersihkan sebuah rumah penduduk yang terjejas akibat banjir.

Inisiatif kesukarelawanan itu melibatkan penyertaan mahasiswa daripada MPP USIM, Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM), pelajar badan beruniform serta pelajar dari pelbagai fakulti di USIM.

Program dimulakan dengan ucapan amanat oleh Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani sebelum diteruskan dengan taklimat kesihatan dan keselamatan yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Kesihatan Universiti USIM, Dr Nik Mohd Shafikudin Md Tajuddin.

Para sukarelawan kemudiannya bertolak ke lokasi banjir pada pukul 9.30 pagi dengan menaiki tiga buah bas yang disediakan pihak universiti.

MPP USIM
Haikal Nazhan berkata, program itu menjadi platform kepada mahasiswa untuk menghayati nilai empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial.

Yang Dipertua MPP USIM, Haikal Nazhan Hamdan berkata, kerja-kerja pembersihan melibatkan bahagian dalam rumah serta kawasan persekitaran kediaman.

“Program ini bertujuan bagi membantu mangsa banjir kembali menjalani kehidupan dalam keadaan lebih selesa selepas air surut.

“Hasil kerjasama antara mahasiswa dan penduduk setempat, hampir 40 buah rumah daripada tiga lorong kediaman berjaya dibersihkan sepanjang ia berlangsung,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menurut beliau, penganjuran program tersebut bukan sahaja mempercepatkan proses pemulihan pasca banjir malah meringankan beban mangsa yang terjejas.

Sukarelawan USIM
Bantuan yang diberikan termasuk membasuh pinggan mangkuk yang ditenggelami air banjir.

“Program ini merupakan manifestasi semangat kesukarelawanan mahasiswa serta komitmen universiti dalam menyantuni masyarakat.

“Selain itu, ia turut menjadi platform kepada mahasiswa untuk menghayati nilai empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, MPP USIM turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan yang terlibat dan berharap usaha murni tersebut dapat diteruskan menerusi siri program akan datang.

Sukarelawan USIM
Para sukarelawan bergambar sambil membuat trademark USIM selepas selesai program.

Program itu dilaksanakan berteraskan aspirasi ‘Aspirasi Mahasiswa, Manifestasi Bersama’ selari dengan peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan dalam masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button