Warung Kak Ra Nasi Kerabu dan Nasi Berlauk di Jenderam Hilir tawar citarasa Pantai Timur
DENGKIL – Di sebalik deretan kedai makan sekitar Jenderam Hilir, terselit sebuah warung kecil yang menjadi persinggahan pelanggan yang merindui citarasa Pantai Timur.
Warung itu dikenali sebagai Kak Ra Nasi Kerabu & Nasi Berlauk yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Nora Hamzah yang mesra dipanggil Kak Ra dan Zulhisyam Mat Ripin.

Warung itu dibuka setiap hari kecuali Isnin, bermula seawal pukul 7 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Menunya ringkas tetapi membangkitkan selera iaitu nasi kerabu dengan pelbagai pilihan lauk seperti ayam goreng berempah, ayam kunyit, daging goreng kunyit, telur masin dan solok lada.
Selain itu, pelanggan turut boleh menikmati hidangan laksam, laksa Siam, nasi dagang, nasi berlauk dan nasi lemak.
Menurut Kak Ra yang berasal dari Tumpat, Kelantan, minat berniaga sebenarnya sudah lama berakar dalam dirinya.

Namun, keberanian untuk membuka warung banyak datang daripada sokongan suami.
“Idea ini Allah yang gerakkan juga. Suami yang banyak memberi semangat walaupun bidangnya berbeza.
“Mungkin dia mahu merealisasikan impian saya untuk buka warung nasi kerabu, selain tahu saya ada sedikit kelebihan dalam memasak,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Ditanya mengenai sambutan pelanggan, jelas Kak Ra, ia ibarat air pasang surut.
Ujarnya, ada pelanggan setia yang datang hampir setiap minggu, malah ada yang tidak putus berkunjung dua minggu berturut-turut.
Namun ada juga yang sekadar singgah sekali sahaja.

“Sedap ini subjektif. Sedap di tekak kita, belum tentu sama di tekak orang lain. Tapi syukur Alhamdulillah, ramai yang beri maklum balas positif mengenai makanan yang kami sediakan,” katanya merendah diri.
Lebih menarik, bahan-bahan tertentu untuk masakan seperti kelapa goreng yang digunakan dalam sambal masih ditempah dari kampung halamannya.
Selain mengekalkan keaslian rasa, ia juga menjadi cara Kak Ra membantu orang kampung mencari rezeki.
Bagi Kak Ra, setiap hidangan nasi kerabu yang disajikan turut membawa memori zaman kecil.

“Kami orang susah dulu. Kalau beli satu atau dua bungkus nasi kerabu, mek (mak) akan gaul dengan nasi dingin (semalam) untuk jadi lebih banyak supaya semua ahli keluarga dapat makan.
“Walaupun sederhana, bagi kami itu sudah cukup nikmat. Apabila diimbau semula kenangan itu, ia mampu membuatkan air mata mengalir,” ceritanya lagi.
Kini, warung kecil itu bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi juga menjadi wadah Nora dan suami menzahirkan impian serta berkongsi sedikit rasa nostalgia kampung halaman kepada para pelanggan.
Warung Kak Ra Nasi Kerabu & Nasi Berlauk
Lokasi: Jenderam Hilir (berhampiran Shell)
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (7 pagi – 12.30 tengahari)
No. Telefon: 010-6558125
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






