Wanita mengaku tidak bersalah aniaya 77 ekor kucing
PETALING JAYA – Seorang juruukur sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan menganiaya 77 ekor kucing, termasuk menyebabkan kematian 41 ekor haiwan itu dan membiarkan 36 ekor lagi dalam keadaan kebuluran.
Tertuduh, Lee Reo Jin, 49, membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa membiarkan 36 ekor kucing hidup dalam keadaan yang boleh menyebabkan haiwan berkenaan mengalami kesakitan akibat kebuluran di sebuah unit pangsapuri di Subang Jaya pada Mac lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 29(1)(p) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Reo Jin didakwa sebagai pemilik telah menyebabkan kematian 41 ekor kucing yang berada di bawah jagaannya di lokasi dan tempoh yang sama.
Dia didakwa mengikut Subseksyen 29(1)(r) akta yang sama, yang turut memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor, Mohd Sharif Sabran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta seorang penjamin, selain memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah. Tertuduh dilaporkan membayar wang jaminan tersebut.
Mahkamah menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan pelantikan peguam.
Sebelum ini, kejadian itu terbongkar selepas pegawai DVS Selangor menyerbu sebuah unit pangsapuri di Subang Jaya pada 13 Mac lalu susulan aduan penduduk mengenai bau busuk yang datang dari kediaman berkenaan.
Dalam serbuan itu, sebanyak 41 bangkai kucing ditemukan dalam keadaan mereput, termasuk 31 bangkai yang dibungkus dalam plastik dan disimpan di dalam peti sejuk beku, manakala 10 lagi ditemukan di ruang tamu dan dalam sangkar.
Selain itu, 36 ekor kucing lain ditemui masih hidup tetapi dalam keadaan kurus dan lemah, dipercayai akibat tidak diberi makanan yang mencukupi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
