BERITA SEMASAMALAYSIA MADANI

VM2026: Pelancongan pacu jenama Malaysia di pentas global – King Sing

MELAKA – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan pelancongan bukan sekadar angka kedatangan pelancong, sebaliknya menjadi pemangkin ekonomi rakyat dan kekuatan jenama Malaysia di pentas dunia.

Berucap pada Majlis Pelancaran Visit Malaysia 2026 (VM2026) di Encore Melaka malam tadi, beliau berkata kepelbagaian budaya, tradisi, makanan serta komuniti di Malaysia adalah keunikan yang wajar dijadikan kekuatan negara.

VM2026
Majlis tersebut turut dihadiri barisan tetamu kehormat termasuk Perdana Menteri, TYT Melaka dan Ketua Menteri Melaka.

“Melalui VM2026, kita mahu dunia melihat warisan bukan sekadar kisah yang ditinggalkan, tetapi kekuatan hidup yang menggerakkan masa depan. Dari Melaka hingga George Town, dari hutan hujan tropika hingga ke kampung-kampung, setiap sudut Malaysia akan bercerita kepada dunia,” katanya.

Menurut King Sing, manfaat pelancongan mesti dirasai rakyat di peringkat akar umbi, bukan hanya dinikmati hotel, restoran atau syarikat penerbangan.

“Pelancongan perlu dilihat sebagai ekonomi rakyat. Hanya apabila ia dirasai masyarakat di peringkat bawah, barulah ia benar-benar memberi makna,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan Malaysia perlu tampil sebagai destinasi hijau, pintar dan mesra pelancong, seiring permintaan global terhadap destinasi mampan, inklusif serta inovatif.

VM2026
Pelancaran VM2026 turut dimeriahkan dengan persembahan tarian kebudayaan semua kaum di Malaysia.

Katanya, cabaran dunia seperti perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik menunjukkan sektor pelancongan bukan sahaja terkesan, malah mampu menjadi sebahagian penyelesaian melalui persefahaman antarabangsa dan kelestarian.

“VM2026 bukan sekadar slogan di pentas. Kejayaan sebenar hanya akan diukur apabila rakyat dapat berkata kempen ini membawa manfaat kepada komuniti dan negara,” jelasnya.

VM2026
Orang ramai merakam logo Visit Malaysia 2026 yang dipancarkan ke udara.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan padu terhadap inisiatif kementeriannya, termasuk melalui dukungan Kementerian Kewangan.

Sehubungan itu, King Sing menyeru semua pihak berganding bahu memastikan VM2026 meninggalkan legasi perpaduan, ketahanan dan visi untuk generasi akan datang.

“Visit Malaysia 2026 bukan hanya tentang menyambut pelawat, tetapi memberi dunia sebab untuk mengingati Malaysia, mencipta kebanggaan dan kesejahteraan rakyat serta meninggalkan warisan bermakna,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button