Visa dibatal, Presiden Colombia tuduh AS langgar undang-undang antarabangsa
BOGOTA – Presiden Colombia, Gustavo Petro mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) membatalkan visanya dan menuduh Washington melanggar undang-undang antarabangsa hanya kerana beliau lantang mengkritik kekejaman Israel di Gaza.
Petro dalam kenyataan di media sosial berkata, beliau tidak gentar dengan keputusan itu kerana turut memegang kerakyatan Eropah.
“Saya tidak lagi memiliki visa ke AS. Saya tidak peduli. Saya tidak memerlukan visa … kerana saya bukan sahaja warganegara Colombia tetapi juga warga Eropah dan saya benar-benar menganggap diri saya sebagai manusia yang bebas,” katanya.
Menurut beliau, tindakan AS menarik balik visa hanya kerana dia lantang mengutuk ‘genosid’ membuktikan negara itu tidak lagi menghormati undang-undang antarabangsa.
Kenyataan itu hadir selepas Petro berucap pada perhimpunan pro-Palestin di luar ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, sempena Perhimpunan Agung PBB, Khamis lalu.
Dalam ucapannya, beliau menggesa penubuhan pasukan bersenjata antarabangsa untuk membebaskan Palestin malah menyeru tentera AS agar ‘tidak mematuhi arahan Trump, tetapi memilih arahan kemanusiaan’.
Susulan itu, Jabatan Negara AS menerusi kenyataan di platform X mengumumkan pembatalan visa Petro atas alasan tindakannya dianggap “tidak bertanggungjawab dan berbaur hasutan”.
Kementerian Luar Colombia pula mengecam tindakan Washington yang menggunakan visa sebagai senjata diplomatik, sambil menegaskan ia bercanggah dengan semangat PBB yang melindungi kebebasan bersuara serta menjamin kebebasan negara anggota ketika berucap di pentas antarabangsa.
“PBB seharusnya mencari negara tuan rumah yang benar-benar neutral,” kata kementerian itu.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama presiden Colombia berdepan isu visa dengan AS kerana pada 1996 visa Presiden Ernesto Samper turut dibatalkan selepas dikaitkan dengan skandal politik melibatkan dana kartel dadah Cali.
Hubungan Bogotá-Washington sejak kebelakangan ini semakin tegang, khususnya selepas Donald Trump kembali ke tampuk kuasa.
Awal tahun ini, Petro menyekat penerbangan deportasi dari AS sebelum kedua-dua negara mencapai persetujuan.
Pada Julai lalu, kedua-dua negara turut menarik pulang duta masing-masing selepas Petro menuduh pegawai AS merancang rampasan kuasa, dakwaan yang dinafikan Washington.
Petro sebelum ini memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel pada 2024 dan mengharamkan eksport arang batu Colombia ke negara itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








