GAYA HIDUPRENCANA

[VIDEO] Dunia ratapi perpisahan pasangan gajah sarkas

CRIMEA – Di bawah langit mendung Taman Safari Taigan, seekor gajah tua berdiri kaku. Badannya tidak lagi bergerak lincah dan keriangan seperti dahulu.

Matanya sayu, belalainya melingkari tubuh rakannya yang terbaring kaku. Jenny sudah tidak lagi bernyawa. Magda kehilangan Jenny, rakan sepersembahan selama lebih suku abad.

Momen yang dirakam penjaga haiwan berkenaan tular baru-baru ini dan menyentuh hati jutaan warganet. Ramai menyifatkan kisah itu sebagai simbol persahabatan yang sejati, ada juga yang melihat sebagai satu tragedi.

Rakaman video itu menunjukkan dengan jelas kesedihan Magda selepas Jenny rebah dan menghembuskan nafas terakhirnya awal minggu ini, meninggalkan Magda dalam kesedihan yang mendalam.

Magda membayangkan Jenny masih berada di sampingnya. Namun, Jenny tidak lagi mampu untuk bangun.

Ternyata, gajah sarkas yang dibawa dari India itu enggan menerima hakikat pemergian rakannya. Dengan penuh kasih, dia menolak perlahan-lahan tubuh Jenny yang kaku, cuba membangunkannya seperti yang mereka lakukan sepanjang hayat mereka bersama.

Pada Magda, Jenny adalah teman yang selama ini menjadi sumber kegembiraannya. Sahabat di kala sedih dan rakan yang sentiasa berjuang dalam industri sarkas yang kian menghampiri senja.

Pada hari Jenny jatuh lemah dan tidak lagi bernyawa, dia enggan membiarkan sesiapa pun menghampiri mayat Jenny. Tanda Magda ingin ‘memiliki’ Jenny buat sekian kalinya.

Dia menolak rakannya perlahan, cuba membangunkan dan akhirnya hanya mampu memeluknya erat.

Selama berjam-jam, Magda tetap setia di sisi, seolah-olah enggan membiarkan Jenny pergi begitu sahaja.

Dia berdiri merenung jauh, seakan tenggelam dalam memori yang pernah mereka lalui bersama, memori pentas sarkas, sorakan penonton, saat mereka berlari beriringan di bawah lampu terang. Kini, hanya kesunyian yang menyelubungi.

Namun kisah Jenny dan Magda bukan sekadar rakan persembahan; mereka adalah sahabat yang membesar bersama.

Selama lebih dua dekad, mereka menjadi bintang di Kazan State Circus, mencuri perhatian dengan aksi akrobatik mereka.

Jenny dan Magda ketika berada di puncak kegemilangan persembahan sarkas di Crimea.

Namun, seperti juga manusia, hubungan erat itu pernah beberapa kali teruji dengan perbalahan.

Pada Mac 2021, di hadapan ratusan penonton, Jenny tiba-tiba menanduk Magda, menjatuhkannya di tepi gelanggang menyebabkan kekecohan dan ketakutan penonton.

Pihak sarkas mengatakan, kejadian itu berpunca daripada rasa cemburu Jenny terhadap layanan jurulatih terhadap Magda.

Seminggu kemudian, ketegangan semakin memuncak apabila kedua-dua gajah itu menyerang jurulatih mereka, Eduard Sheishenbekov mengakibatkan kecederaan parah dengan patah tulang belakang, tulang rusuk dan koyak paru-paru.

Insiden itu menjadi pencetus khidmat kedua-dua gajah itu ditamatkan. Sejak itu Jenny dan Magda direhat dan dihantar ke Taman Safari Taigan sebagai haiwan pameran.

Perbalahan antara Jenny dan Magda sehingga mengancam nyawa penonton menjadi titik tolak persembahan mereka tiba ke titik persaraan.

Adab persahabatan, persaraan dari dunia sarkas yang penuh dengan persaingan, tamakkan perhatian dan sorakan akhirnya membawa mereka menghayati semula erti persahabatan.

Sejak itu juga tiada lagi konflik, perebutan dan perselisihan. Mereka berkongsi saat bersama dalam erti kata sebenar persahabatan.

Beberapa hari selepas pemergian Jenny, Magda tidak lagi aktif di kurungannya, mungkin mengenang Jenny dalam kesunyian.

Demikian kisah dua sahabat yang saling memerlukan. Dunia menyaksikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Kisah cinta, kehilangan dan kesedihan.

@malaysiatribune

Kisah persahabatan dua ekor gajah sarkas, Jenny dan Magda tersingkap selepas kematian salah seekor daripadanya baru-baru ini. #kazanstatecircus #gajah #gajahsarkas haiwan #simbolpersahabatan janganlupakawan #susahsenangbersama #gajahindia

♬ Sad violin – Katsuyuki Takahashi

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button