BISNES & EKONOMI

Veteran pembangunan hub syarikat pemula minat bantu Malaysia – Rafizi

CYBERJAYA – Veteran dalam pembangunan hub syarikat pemula, Jack Selby berminat untuk membantu Malaysia menjadikan Kuala Lumpur (KL) sebagai hub syarikat pemula dan industri digital serantau.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Selby melahirkan hasrat tersebut ketika ditemui semasa Forum Ekonomi Qatar yang berlangsung baru-baru ini.

“Dari perkongsian tempoh hari, Jack Selby melahirkan minat untuk membantu Malaysia membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat syarikat pemula dan industri digital serantau.

“Kepakaran beliau akan membantu negara merangka dasar yang lebih mesra syarikat pemula dan mewujudkan jaringan kerjasama (collaboration networking) dalam bidang digital yang melonjakkan nama Kuala Lumpur sebagai destinasi utama industri digital di rantau ini,” kata Rafizi dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Jack Selby adalah antara kakitangan terawal PayPal bersama-sama kumpulan pengasas syarikat seperti Elon Musk, Peter Thiel dan Reid Hoffman.

Related Articles

Kumpulan pengasas PayPal ini menjadi tenaga utama yang menggerakkan industri digital dari Silicon Valley melalui penglibatan mereka di dalam syarikat-syarikat digital terkenal, antaranya seperti Tesla, SpaceX, Youtube, Facebook, LinkedIn dan OpenAI.

Kini, Selby merupakan Pengarah Urusan Thiel Capital dan pencetus Arizona Technology Innovation Summit.

“Kepakaran Jack Selby adalah unik kerana usahanya membangunkan Arizona sebagai pusat syarikat pemula yang baru di luar Silicon Valley yang kini semakin berjaya menarik syarikat-syarikat pemula untuk datang ke Arizona.

“Sudah tentu, pengalaman beliau di Arizona kita boleh gunakan untuk merangka dasar dan program bagi melonjakkan status Kuala Lumpur sebagai destinasi utama digital di rantau ini,” kata Rafizi lagi.

Sasaran menjadikan Kuala Lumpur sebagai hub startup dan digital serantau sudah pasti mampu menarik lebih banyak pelaburan dan seterusnya menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada rakyat Malaysia.

Tambah Rafizi, atas tujuan itu kerajaan akan menumpukan kepada menyelaraskan sistem sokongan awam ke arah pendekatan bersepadu untuk menambahbaik ekosistem digital yang lebih berkesan.

“Saya akan terus memaklumkan dari masa ke masa perkembangan usaha ekonomi digital ini.

“Saya percaya sekiranya kita terus tidak bersikap business as usual, terus berfikir dan melaksana, hasil ekonomi yang lebih besar nilainya akan dapat dinikmati semua,” kata Rafizi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button