Usaha perangi dadah tanggungjawab bersama, bukan bahan politik – Nik Amar
KOTA BHARU – Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan, isu dadah tidak wajar dijadikan bahan politik sebaliknya perlu ditangani secara bersama oleh semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan masyarakat.
Beliau menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menekankan bahawa gejala dadah tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh tanpa mengira sempadan negeri atau perbezaan fahaman politik.
“Agensi penguatkuasaan utama seperti Polis Diraja Malaysia dan AADK berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Maka ia perlu dilihat dalam kerangka pentadbiran yang lebih besar, bukan hanya menyalahkan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Nik Amar, Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa berusaha menangani masalah sosial melalui pendidikan, dakwah, pengukuhan institusi keluarga dan penglibatan belia dalam program berfaedah.
Namun katanya, pendekatan yang lebih holistik diperlukan agar usaha pencegahan lebih berkesan.
Beliau turut mengulas laporan Ketua Polis Kelantan mengenai peningkatan kes penyalahgunaan pil kuda di kalangan remaja dan pelajar sekolah serta kes rogol bawah umur yang berlaku atas dasar suka sama suka.
“Statistik ini membimbangkan, namun harus difahami bahawa kesedaran rakyat Kelantan untuk tampil melaporkan kes jenayah adalah lebih tinggi.
“Ini menunjukkan keprihatinan masyarakat, bukan kelemahan sistem,” katanya lagi.
Nik Amar turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan kunci utama dalam membendung keruntuhan moral dan Kelantan telah memperuntukkan lebih RM125 juta tahun ini bagi menampung operasi sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang kini menempatkan hampir 40,000 pelajar.
Beliau juga menekankan peranan ibu bapa sebagai madrasah pertama dalam membentuk sahsiah anak-anak serta pentingnya kembali kepada nilai agama sebagai benteng terakhir daripada kerosakan moral.
“Apabila nilai runtuh, maka yang salah dianggap benar. Islam mengajar kita untuk tunduk kepada ketetapan Allah, bukan mengubah baik buruk mengikut selera,” ujarnya.
Mengulas tuduhan bahawa Kelantan menjadi pusat aktiviti dadah, Nik Amar menjelaskan bahawa kedudukan geografi negeri yang bersempadan dengan Thailand menjadikannya lokasi transit strategik, bukan sarang pengedaran.
Beliau menutup kenyataan dengan menyeru masyarakat agar berlaku adil dalam menilai keadaan sosial Kelantan.
“Tidak adil menilai seluruh negeri hanya kerana kesalahan segelintir. Dalam menegur, kita membaiki, bukan menghukum semua,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
