UMNO akan bertanding lebih 30 kerusi dimenangi- Zahid
KUALA LUMPUR – UMNO akan bertanding lebih daripada 30 kerusi yang dimilikinya ketika ini pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, itu termasuk kerusi-kerusi yang mana UMNO mendapat undian kedua tertinggi dalam kalangan parti bertanding.
“Saya ingin katakan, bukan sahaja 30 kerusi yang telah kami menangi, tetapi juga kerusi lain yang kami anggap sebagai kerusi ‘tier dua’, iaitu kerusi yang kami kalah tetapi berjaya memperoleh undi kedua tertinggi,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Ditanya sama ada ia termasuk kerusi dimenangi BERSATU, Ahmad Zahid berkata, perkara itu bergantung kepada analisis data semua kerusi.
“Kita perlu benar-benar menganalisisnya terlebih dahulu,” katanya.
Perhimpunan Agung UMNO 2025 akan diadakan bermula esok hingga 17 Januari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November tahun lalu bagi memberi laluan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Dalam pada itu, mengenai PRN Melaka dan Johor akan datang, Zahid berkata, tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah bergantung kepada Ketua Menteri dan Menteri Besar masing-masing.
“Kita perlu bekerja keras dan bekerja dengan bijak. Kita masih perlu menggandakan usaha untuk meraih sokongan pengundi di kedua-dua negeri,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















