Oleh DR SITI SURIANI OTHMAN
MELALUI satu sesi wacana dalam talian yang penuh inspirasi sempena Bulan Penulisan USIM Writers’ Pool – UWP (PEMULA) 2025, sosok bernama Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak tidak perlu diperkenalkan terutama dalam kalangan akademia tempatan dan luar negara.
Sebagai seorang tokoh akademik dan penulis berwibawa, Dzulkifli berkongsi pandangan tentang peranan dan tanggungjawab penulis menerusi pengalamannya menulis kolum dalam akhbar sejak 1994.
Mesra disapa Tan Sri Dzul, menulis menurutnya bukanlah hanya satu proses menyusun kata-kata, tapi satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan ilmu, niat yang jelas dan integriti yang tinggi.

Antara perkongsian bermakna kepada akademia yang menulis ialah pentingnya untuk seseorang itu membangun diri sebagai seorang yang berilmu.
Dalam praktis kewartawanan, ia dipanggil sebagai membentuk diri sebagai ‘pakar mini’ bagi tajuk yang dibincangkan.
Aspek kedalaman perbincangan, hujah yang meyakinkan, fakta yang sahih dan kelancaran aliran penulisan menghasilkan karya yang jelas dan dipercayai pembaca.
Ia sekali gus mengeluarkan diri pembaca daripada terperangkap dalam kekeliruan berkaitan tajuk yang dibincangkan.
Dzulkifli yang juga Penasihat UWP juga mengingatkan bahawa setiap penulisan mesti mempunyai tujuan yang jelas (must meet the purpose) dan lahir daripada suatu sebab yang kukuh (must have a cause).
Sama ada menulis untuk mendidik, memberi kesedaran, mengkritik atau membina pemikiran masyarakat, penulisan perlu digerakkan oleh niat yang betul dan matlamat yang tersusun.
Tanpa arah tuju, tulisan akan hilang makna dan gagal memberi impak.

Lebih penting lagi, Dzulkifli juga berhujah bahawa hasil penulisan adalah sesuatu yang bersifat kekal.
Ia menjadi dokumen penting yang mencerminkan siapa kita sebagai seorang manusia.
Tulisan kita akan terus wujud walaupun kita sudah tiada dan orang ramai akan merujuknya untuk memahami pemikiran, nilai dan prinsip kita.
Justeru, penulisan bukan hanya mencerminkan fikiran, ia malah membentuk legasi diri.
Dalam masa yang sama, ia juga peringatan kepada penulis bahawa apa sahaja yang ditulis akan menjadi rujukan di masa depan yang akan digunakan orang lain untuk mengenal pasti kekuatan penulis dan kesilapan serta kelemahan mereka.
Oleh itu, setiap fakta, hujah dan interpretasi perlu diasaskan kepada kejujuran dan tanggungjawab intelektual.
Dengan latar belakang sebagai seorang akademia, Dzulkifli turut membandingkan penulisan media dengan penulisan akademik.
Menurutnya, menulis di media membuka ruang komunikasi dua hala, berbeza dengan penulisan jurnal akademik yang sering bersifat sehala dan tertutup kepada khalayak umum.
Penulisan media memberi peluang kepada masyarakat untuk memberi maklum balas, mencabar idea atau mengembangkan wacana.

Di situlah cabaran kepada akademia yang menulis di media, bermakna bersedialah untuk sebarang kritikan yang memerlukan kefahaman yang mendalam tentang tajuk yang ditulis serta boleh dicabar pada bila-bila masa oleh sesiapa sahaja.
Akhir sekali, Dzulkifli menekankan bahawa penulisan tidak semestinya untuk memenuhi kehendak orang lain semata-mata.
Penulisan juga boleh menjadi saluran kepuasan peribadi (own purpose, own satisfaction).
Menulis memberi ruang kepada penulis untuk meluahkan pandangan, memperkukuh hujah dan membina identiti diri tetapi bukan untuk mengecap populariti.
Kesimpulannya, Dzulkifli berpesan kepada para penulis sama ada dalam kalangan akademik, pelajar mahupun masyarakat umum supaya menulis dengan ilmu, tujuan dan kejujuran.
Kerana setiap tulisan bukan sekadar catatan sementara, tetapi warisan pemikiran yang akan hidup lebih lama daripada usia kita sendiri.
* Penulis merupakan Presiden USIM Writers’ Pool (UWP) merangkap Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






