BERITA SEMASA

Tuan Ibrahim nafi gagal bayar sewa pejabat khidmat Ahli Parlimen, bakal ambil tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan kononnya beliau gagal menjelaskan bayaran sewa Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kubang Kerian (PKPKK), sambil menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah.

Beliau berkata, bayaran sewa premis tersebut dibuat setiap bulan tanpa gagal dan turut menyenaraikan rekod pembayaran dari Januari 2025 hingga April 2026 bagi menyangkal dakwaan yang tular di media sosial.

Menurutnya, bayaran bagi Mei 2026 pula ditolak daripada lebihan deposit yang dipegang susulan arahan pengosongan premis oleh pemilik bangunan yang didakwa tidak mengikut perjanjian sewa.

“Saya perlu nyatakan dengan jelas bahawa semua dakwaan dan tuduhan itu adalah fitnah.

“Tuduhan mengatakan saya tidak membayar sewa perlu dibuktikan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, beliau tidak mahu memanjangkan polemik berkenaan kerana mahu memberi tumpuan kepada isu yang lebih penting melibatkan kepentingan rakyat.

Bagaimanapun katanya, tindakan undang-undang akan diambil bagi membersihkan nama beliau serta PAS daripada terus dikaitkan dengan tuduhan tersebut.

“Saya mengarahkan peguam saya mengambil tindakan yang perlu bagi membersihkan nama saya dan juga PAS,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengingatkan masyarakat agar berhati-hati menyebarkan fitnah dan mengakhiri penjelasannya dengan memetik hadis Rasulullah SAW berkaitan golongan muflis di akhirat akibat menzalimi dan memfitnah orang lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button