Transformasi Harris J: Dari cahaya populariti ke pintu hidayah
“SAYA hanyalah seorang hamba yang sedang mencari kebenaran melalui muzik dan kehidupan.”
Itulah ungkapan jujur daripada penyanyi keturunan British-India, Harris J yang pernah menjadi fenomena dunia Islam dengan lagu-lagu dakwahnya.

Harris dilahirkan pada 2 Mei 1997 di Chelsea, United Kingdom.
Bagaimanapun, siapa sangka di sebalik populariti yang dikecapi, beliau kemudian menempuh fasa gelap yang hampir menghilangkan seluruh identitinya sebagai seorang pemuda Muslim.
Bintang muda yang bersinar
Menyusuri perjalanannya dalam dunia seni, nama Harris J mula meniti di bibir peminat setelah menjuarai pertandingan bakat anjuran Awakening Records pada tahun 2013.
Ketika itu, beliau baru berusia 16 tahun. Suaranya yang merdu, wajah yang bersih dan polos serta gaya yang sederhana menjadikan beliau idola baharu dalam dunia nasyid kontemporari.

Lagu debutnya bertajuk Salam Alaikum pada tahun 2015 yang membawa mesej keamanan, kasih sayang dan identiti Muslim sebenar menjadi siulan di seluruh dunia.
Beliau seterusnya menghasilkan lagu-lagu seperti Good Life, You Are My Life dan Worth It yang bukan sahaja menarik jutaan tontonan di YouTube, tetapi juga menyentuh hati mereka yang sedang mencari arah hidup dalam dunia moden yang penuh godaan.
Bila populariti mengaburi pandangan
Namun seperti ramai bintang muda lain, Harris tidak terlepas daripada cabaran mendepani dunia hiburan yang penuh glamor.
Ketika nama dan wajahnya menjadi jenama global, perubahan ketara mula terlihat pada penampilannya.

Media sosialnya menampilkan gaya hidup yang lebih bebas, dengan mesej-mesej yang kadangkala bertentangan dengan imej Muslim yang pernah dibawanya.
Beliau turut mengakui dalam beberapa ciapan Twitter dan temu bual terdahulu bahawa ada waktu-waktu di mana dia berasa jauh daripada Allah dan hanyut dalam dunia hiburan yang menuntut populariti lebih daripada nilai spiritual.
Ketika itu, ramai peminat meluahkan kekecewaan kerana merasakan Harris telah menyimpang dari jalan dakwah yang pernah dipegang teguh.
Dari kegelapan kepada cahaya
Namun, kuasa hidayah Allah itu tidak memilih waktu dan tempat. Beberapa tahun selepas itu, Harris membuat kejutan dengan kembali menghasilkan lagu-lagu berunsur kerohanian dan ketuhanan.
Antaranya ialah Love Who You Are, Guided, Rahma, O Allah dan I Need Guidance iaitu lagu yang jelas menggambarkan gelora jiwa dan pencarian rohani beliau yang mendalam.

Lirik-liriknya menjadi lebih reflektif, jujur dan ikhlas – seolah-olah satu luahan hati seorang anak muda yang kembali mendakap Islam setelah jatuh dalam kegelapan.
Lagu-lagunya kini tidak hanya menyentuh soal kehidupan luaran, tetapi meresap jauh ke dalam isu identiti, dosa, taubat dan kasih sayang Allah SWT.
Seni sebagai jalan dakwah
Kini, Harris kini lebih matang dan jelas dengan haluannya. Beliau menggunakan platformnya di media sosial untuk menyebarkan mesej positif, mengajak anak muda kembali kepada Islam secara santai namun bermakna.
Beliau juga lantang menyuarakan isu-isu kemanusiaan seperti Palestin, Syria dan keadilan sejagat.

Dalam satu wawancara, Harris pernah menyebut: “Saya sedar saya bukan sempurna. Tapi saya tahu bahawa setiap langkah saya hari ini, saya mahu ia membawa saya lebih dekat kepada Allah dan kalau boleh, saya mahu bawa orang lain bersama.”
Teladan dari perjalanan hidayah
Kisah Harris adalah cerminan perjuangan ramai anak muda Muslim hari ini yang berhadapan dengan cabaran identiti, tekanan sosial dan keinginan untuk diterima dunia.
Namun, jalan pulang sentiasa terbuka bagi mereka yang diberi hidayah.

Harris membuktikan bahawa walau sejauh mana kita pernah tersasar, Allah tetap membuka ruang untuk kembali, asalkan ada kesungguhan dan keikhlasan dalam diri.
Daripada Salam Alaikum yang ceria kepada I Need Guidance yang penuh tangisan, Harris telah melalui satu perjalanan yang bukan sekadar perubahan imej, tetapi transformasi jiwa dan rohani yang penuh keinsafan.
Sebagaimana kata rakan duetnya melalui lagu Qalbi Fi Madinah yang trending ketika ini, Maher Zain: “Harris mengingatkan saya kepada diri kepada diri saya sendiri ketika baru bermula dahulu. Tetapi beliau ada gaya uniknya yang tersendiri – segar, moden dan berteraskan keimanan. Saya bangga melihat pencapaiannya hingga ke saat ini.”

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






