TLDM berdepan cabaran aset usang, lebih 60 peratus kapal lepasi tempoh perkhidmatan
KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini berdepan cabaran besar dalam memastikan kesiapsiagaan pertahanan maritim negara apabila lebih 60 peratus asetnya telah melepasi tempoh perkhidmatan dan berusia lebih empat dekad.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain berkata, keadaan itu menyebabkan TLDM berdepan kesukaran dalam aspek penyelenggaraan selain meningkatkan risiko kerosakan ketika aset digunakan dalam operasi.
“Lebih daripada 60 peratus aset kita berusia lebih 40 tahun. Maknanya semuanya sudah usang dan ini merupakan satu cabaran besar kepada TLDM ketika ini.
“Kapal-kapal ini masih perlu melaksanakan operasi di laut kerana kita mempunyai enam operasi yang memerlukan aset berada di laut 24 jam sehari sepanjang tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun Ke-53 Kapal Kombatan TLDM, di sini hari ini.
Menurut Zulhelmy, antara aset yang masih digunakan sehingga kini ialah KD Ganyang, KD Perdana, KD Serang dan KD Ganas yang sebelum ini beroperasi di bawah Skuadron Kapal Penyerang Laju TLDM.
Bagaimanapun, katanya, status perkhidmatan aset berkenaan telah ditukar kepada kelas kapal rondaan.
Beliau berkata, walaupun semua kapal yang digunakan dipastikan berada dalam keadaan selamat untuk belayar (seaworthy), sebahagian besar aset tersebut sebenarnya telah melepasi tempoh penggunaan yang sesuai dan perlu digantikan.
“Apabila aset menjadi usang, penyelenggaraan pembaikan (corrective maintenance) menjadi lebih banyak berbanding penyelenggaraan pencegahan (preventive maintenance).
“Kerosakan berlaku tanpa diduga kerana faktor usia selain alat ganti juga semakin sukar diperoleh kerana kebanyakan kapal itu tidak lagi digunakan oleh negara lain,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Sehubungan itu, Zulhelmy berkata, TLDM akan melaksanakan pelan penggantian aset secara berperingkat sebaik Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 mula diterima dalam masa terdekat.
“Apabila LCS dan LMS Batch 2 mula diterima dalam masa terdekat, kita akan melaksanakan pelan ‘phase in, phase out’ bagi menggantikan kapal-kapal lama secara berperingkat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















