Tenunan Dastar jadi inspirasi koleksi Cipela
KUALA LUMPUR – Warisan tenun Dastar Sabah kini diangkat ke pentas fesyen kontemporari apabila jenama aksesori kasut premium tempatan, Cipela, mempersembahkan koleksi istimewa berinspirasikan hasil tangan wanita Iranun dalam acara CIMB Artober Art & Soul Centre di sini, baru-baru ini.
Diasaskan pada 2012 oleh Hidayah Hassan, penglibatan Cipela bukan sekadar pameran fesyen, sebaliknya usaha memperkenalkan seni tradisi Malaysia dalam gaya hidup moden.
Menurut Hidayah, projek tersebut bukan sahaja memelihara seni warisan, malah membantu komuniti artisan Iranun di Sabah menjana pendapatan secara mampan.
“Sejak hari pertama saya mengasaskan Cipela, impian saya hanyalah satu menjadikan warisan bangsa bukan sekadar khazanah yang dipelihara, tetapi sesuatu yang boleh dipakai dan disarung dengan bangga,” katanya.

Di sebalik kejayaan itu, Hidayah berdepan cabaran awal termasuk kos produksi tinggi dan persepsi terhadap kualiti produk tempatan, namun ketekunannya akhirnya membuahkan hasil apabila Cipela menjadi jambatan antara tradisi dan inovasi.
Lebih bermakna, usaha tersebut mendapat sokongan dua pelabur wanita berpengaruh, Haslinda Hussein dan Bibi Rafidah Mohd.
Amin, yang bukan sahaja menyumbang pelaburan kewangan tetapi juga keyakinan terhadap visi Cipela.
Bibi Rafidah, anak jati Sabah, turut membuka ruang untuk Hidayah melihat potensi besar tenun Dastar sebagai identiti bangsa dan peluang ekonomi.
Selain itu, Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional juga menjadi rakan strategik penting melalui Dana Perusahaan Sosial Hasanah dengan kerjasama Kementerian Kewangan.
Dengan sokongan Yayasan Hasanah, Cipela kini berupaya melatih lebih ramai artisan, memperkukuh komuniti dan membina rantaian bekalan produk warisan secara mampan.

Hidayah menambah, setiap helaian tenun yang diterjemahkan dalam kasut, beg atau aksesori bukan sahaja barangan fesyen, tetapi juga naratif tentang keluarga, komuniti dan kesinambungan budaya.
“Bayangkan tenunan Dastar hasil tangan wanita Iranun di Sabah kini boleh dipakai sebagai kasut di Kuala Lumpur atau dijinjing sebagai aksesori di negara lain. Itu bukti warisan masih hidup, relevan dan menyara kehidupan,” jelas Hidayah.
Sementara itu, Hidayah berkata, keutamaan Cipela kini adalah membina ekosistem mampan yang melibatkan latihan artisan, pembangunan komuniti serta pelan kesinambungan.
“Jika Cipela mampu menginspirasi rakyat Malaysia untuk hidup dengan warisan penuh bangga sambil memastikan komuniti artisan terus berkembang, maka ia adalah pencapaian terbesar kami,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






