“Tarik rambut, terus merah!” United dimalukan Leeds di Old Trafford
MANCHESTER – Manchester United dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Leeds United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford pada Isnin, dalam perlawanan yang dicemari kontroversi keputusan pengadil.
Skuad kendalian Michael Carrick itu bermula hambar apabila dibolosi dua gol awal oleh Noah Okafor pada separuh masa pertama, hasil kelemahan ketara di bahagian pertahanan.
Situasi bertambah buruk buat tuan rumah selepas Lisandro Martínez dilayangkan kad merah pada minit ke-56 susulan insiden menarik rambut Dominic Calvert-Lewin, keputusan yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain dan pegawai United.
Legenda bola sepak, Jamie Carragher menyifatkan keputusan itu sebagai tidak wajar.
“Saya rasa semua orang dalam bola sepak akan melihat itu dan berkata, itu bukan kad merah,” memetik Fox Online.
Kapten United, Bruno Fernandes bagaimanapun mengambil pendekatan berhati-hati apabila enggan mengulas lanjut mengenai pengadil.
“Kalau saya bercakap, saya mungkin akan berdepan masalah. Lebih baik saya tidak komen,” katanya lagi.
Carrick pula secara terbuka mengkritik keputusan tersebut dan menyifatkannya sebagai “mengejutkan”.
“Ia bukan tindakan agresif. Dia hanya menyentuh dan terus dibuang padang. Itu antara keputusan paling buruk yang pernah saya lihat,” katanya lagi.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, United berjaya merapatkan kedudukan menerusi tandukan Casemiro pada minit ke-69 hasil hantaran Fernandes.
Namun, kebangkitan itu tidak mencukupi apabila Leeds kekal bertahan sehingga wisel penamat, sekali gus menamatkan penantian panjang mereka untuk menang di Old Trafford selepas 45 tahun.
Kekalahan itu menyaksikan United kekal di tangga ketiga liga, namun prestasi tidak konsisten mutakhir ini menimbulkan kebimbangan dalam usaha memburu slot ke Liga Juara-Juara.
Dalam pada itu, kemenangan berkenaan memberi nafas baharu buat Leeds yang kini semakin hampir mengelak penyingkiran, selain meningkatkan keyakinan menjelang aksi separuh akhir Piala FA menentang Chelsea.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








