PENDAPATRENCANA

Taman Tenaga Islam perkasa kelestarian kampus IPT di Malaysia

SELARI dengan matlamat jangka panjang ASEAN untuk kelestarian serantau, kerajaan Malaysia telah menetapkan sasaran mencapai 31 peratus penjanaan tenaga boleh diperbaharui pada tahun 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.

Sasaran ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan pelepasan karbon, malah memperkukuh komitmen negara terhadap pembangunan lestari.

Dalam konteks ini, institusi pengajian tinggi berperanan besar sebagai pemangkin perubahan melalui pembangunan kampus yang mesra alam dan berdaya tahan.

Walaupun taman Islam telah lama mendapat pengiktirafan di peringkat global khususnya dari aspek estetika dan nilai budaya, Malaysia masih belum mempunyai satu kerangka tersusun yang mengintegrasikan nilai-nilai Islam secara sistematik dalam reka bentuk kampus lestari.

Keperluan ini semakin mendesak tatkala negara mengangkat aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan prinsip kelestarian, kemakmuran dan inovasi dalam pembangunan.

IEG mengintegrasikan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti panel solar, sistem pencahayaan cekap tenaga dan pengumpulan air hujan ke dalam reka bentuk landskap berkonsep Islamik.

Bagi mengisi kelompongan tersebut, konsep Islamic Energy Garden (IEG) diperkenalkan sebagai satu pendekatan holistik yang menggabungkan prinsip-prinsip Islam dengan amalan tenaga lestari.

Berteraskan Maqasid Syariah, IEG berusaha mewujudkan persekitaran kampus yang menyatukan unsur kerohanian, kelestarian alam dan keterlibatan komuniti dalam satu landskap yang harmoni.

IEG bukan sekadar taman hijau biasa. Ia mengintegrasikan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti panel solar, sistem pencahayaan cekap tenaga dan pengumpulan air hujan ke dalam reka bentuk landskap berkonsep Islamik.

Pendekatan ini membolehkan taman berfungsi sebagai ruang rekreasi dan refleksi spiritual, di samping menjadi model kampus cekap sumber yang mampu mengurangkan jejak karbon.

Konsep IEG memperincikan elemen taman kepada tiga kategori utama berdasarkan hierarki keperluan dalam Islam.

Pertama, Daruriyat (keperluan asas) merangkumi elemen seperti tempat berteduh, kawasan komuniti dan pokok rendang yang menyediakan keselesaan fizikal.

Kedua, Hajiyat (pelengkap) melibatkan penggunaan sistem tenaga solar, tanaman harum serta sistem tadahan air hujan.

Ketiga, Tahsiniyat (hiasan) pula menekankan nilai estetika melalui seni kaligrafi Islam, corak geometri dan dinding hijau.

Kajian menunjukkan bahawa taman berkonsepkan lestari mampu meningkatkan kualiti udara, mengurangkan suhu persekitaran dan memberi kesan positif terhadap kesejahteraan emosi.

Persekitaran hijau juga terbukti membantu mengurangkan tekanan serta meningkatkan tumpuan dan prestasi kognitif, sekali gus menyokong proses pembelajaran yang lebih berkesan.

Kerangka IEG dibina berasaskan lima komponen utama Maqasid Syariah iaitu perlindungan nyawa, akal, keturunan, harta dan agama.

Dari sudut perlindungan nyawa, IEG mengutamakan teknologi tenaga boleh diperbaharui yang mengurangkan pendedahan kepada pencemaran dan meningkatkan kualiti udara.

Usaha ini menyumbang kepada kesejahteraan fizikal dan mental warga kampus.

Bagi perlindungan akal, pembangunan ruang hijau dan landskap semula jadi membantu mengurangkan tekanan serta meningkatkan keupayaan tumpuan.

Pemandangan alam dan elemen semula jadi memberi impak positif terhadap kesihatan mental dan kognitif, aspek penting dalam pembentukan generasi berilmu.

Dalam konteks perlindungan keturunan dan harta, IEG membina asas kelestarian jangka panjang melalui pendidikan kesedaran ekologi, pengurusan sisa yang cekap serta penggunaan bahan binaan lestari.

Langkah ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran sumber, malah mendidik generasi akan datang tentang tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Sementara itu, perlindungan agama diterjemahkan melalui pemahaman bahawa menjaga alam sekitar merupakan sebahagian daripada ibadah.

Konsep khalifah di muka bumi menuntut manusia memelihara keseimbangan alam sebagai manifestasi keimanan dan tanggungjawab moral.

IEG turut mengintegrasikan elemen air dan tanaman harum sebagaimana digambarkan dalam al-Quran.

Elemen air sebagai unsur lembut dalam landskap bukan sahaja meningkatkan nilai estetika, malah mewujudkan suasana tenang dan nyaman.

Tanaman wangi dan bunga berwarna-warni pula memperkayakan pengalaman deria serta memberi kesan terapi kepada pengguna taman.

Pelaksanaan kerangka IEG di institusi pengajian tinggi berpotensi menjadikan kampus Malaysia sebagai model kelestarian berteraskan nilai Islam.

Dalam pendekatan ini, nilai spiritual tidak terpisah daripada tindakan praktikal, sebaliknya menjadi asas dalam pengurusan sumber, tenaga dan ruang.

Lebih daripada sekadar reka bentuk fizikal, IEG membentuk budaya dan gaya hidup lestari dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Ia menggalakkan komuniti kampus menghargai keseimbangan alam, mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah dan melihat kelestarian sebagai tanggungjawab bersama.

Melalui gabungan ilmu moden dan prinsip Islam, IEG mampu menjadi sumbangan signifikan dalam usaha negara menangani cabaran perubahan iklim.

Diharapkan kerangka ini dapat diperluaskan ke kampus-kampus lain di Malaysia, sekali gus melahirkan komuniti akademik yang lebih sihat, seimbang dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Pendekatan ini bukan sahaja memenuhi tuntutan pembangunan lestari global, tetapi juga menzahirkan Maqasid Syariah dalam konteks kontemporari sekali gus membuktikan bahawa nilai Islam kekal relevan dalam mendepani cabaran masa hadapan.

DR MADIHAH MAT IDRIS

DR MADIHAH MAT IDRIS

Penulis merupakan Pensyarah Jabatan Seni Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button