BERITA SEMASADALAM NEGERI

Taiwan lancar promosi pelancongan besar-besaran di Malaysia, sasar lonjakan pelancong

KUALA LUMPUR – Taiwan Tourism Administration memperhebat usaha mempromosi destinasi-destinasi utama pilihan rakyat Malaysia di negara itu menerusi kempen berskala besar yang berlangsung di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sepanjang Mei ini.

Kempen tersebut dianjurkan menerusi jerayawara khas yang menampilkan pameran pelancongan, sesi padanan perniagaan (B2B), persembahan kebudayaan serta kerjasama bersama pempengaruh media sosial terkenal bagi menarik lebih ramai pelancong menjelang musim percutian sepanjang 2026.

Delegasi pelancongan Taiwan yang dibentuk khas untuk misi itu melibatkan 29 organisasi dan 64 wakil terdiri daripada agensi kerajaan tempatan, syarikat penerbangan, hotel, agensi pelancongan dan pengusaha taman tema.

Pengarah Taiwan Tourism Administration, Abe Chou berkata, Malaysia kekal menjadi antara pasaran pelancongan utama Taiwan di bawah Dasar Pandang ke Selatan Baharu (New Southbound Policy), terutama dengan peningkatan permintaan pelancongan luar negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Dengan hubungan rapat antara rakyat Malaysia dan Taiwan serta kemudahan penerbangan terus yang pelbagai, Taiwan melihat pasaran Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus berkembang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Program promosi bermula di Queensbay Mall menerusi Pameran Pelancongan Taiwan dari 15 hingga 17 Mei yang membawa tema ‘Taiwan – Waves of Wonder’.

Acara itu menampilkan pelbagai tarikan termasuk maskot popular “OhBear”, instalasi belon udara panas Taitung serta lokasi bergambar mesra media sosial yang sudah menarik ribuan pengunjung.

Pentas utama turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan seni Taiwan seperti ‘Liu-Sheng-Ji’ dan ‘Flying Space’ yang mempersembahkan gabungan muzik moden, tarian jalanan dan akrobatik.

Bagi mendekati generasi muda, beberapa pempengaruh terkenal Malaysia termasuk LizQin dan Cayeeloh (炸魚) turut berkongsi pengalaman melancong ke Taiwan serta memperkenalkan pelbagai pakej dan itinerari bertema.

Pameran di Pulau Pinang dilaporkan menerima lebih 10,000 pengunjung, manakala sesi padanan perniagaan di Kuala Lumpur bakal menghimpunkan lebih 100 pemain industri pelancongan tempatan dan menghasilkan kira-kira 5,000 sesi padanan perniagaan antara syarikat Malaysia dan Taiwan.

Abe Chou bertemu pemberita dalam acara Pameran Pelancongan Taiwan di Pulau Pinang.

Sementara itu, sesi taklimat pelancongan B2B akan diadakan di The Westin Kuala Lumpur pada 19 Mei dengan fokus kepada pasaran Muslim dan pelancong berbangsa Cina (Malaysia).

Taiwan juga mengetengahkan pencapaiannya sebagai destinasi mesra Muslim apabila menduduki tangga keempat destinasi bukan negara OIC terbaik dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) Mastercard-CrescentRating 2025.

Dalam perkembangan sama, Taiwan kini memberi perhatian terhadap segmen premium dan pelancong berulang menerusi penawaran pengalaman pelancongan lebih eksklusif dan berkualiti tinggi.

Abe Chou berkata, strategi promosi akan terus diperkukuh menerusi pemasaran digital dan kerjasama bersama KOL bagi memastikan Taiwan kekal menjadi destinasi pilihan rakyat Malaysia.

Katanya, kelebihan seperti kemasukan tanpa visa, penerbangan jarak dekat dan persekitaran selamat menjadi antara faktor utama yang terus menarik minat pelancong Malaysia.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button