BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Cadangan skim pencen bulanan KWSP masih diteliti – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR – Cadangan memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih di peringkat perbincangan.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, perkara tersebut telah pun diperhalusi serta diberi penerangan oleh pihak KWSP.

“Saya kata yang tu telah pun diperhalusi dan dibuat penerangan oleh KWSP. KWSP pun dah kata yang ia masih dalam perbincangan.

“Tapi dari segi dasarnya, kalau kita boleh berganjak kepada sistem yang macam pencen, di mana simpanan tu boleh bergerak dan dibayar bulanan, itu mungkin lebih baik kerana cukup simpanan bila sampai masa dia nak bersara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2025 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang turut dihadiri CEO LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin di ibu negara hari ini.

Baca juga : Kerajaan giat tambah baik rangka kerja persaraan

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara isu utama yang dikenal pasti kerajaan adalah kecenderungan sebahagian pencarum menghabiskan wang simpanan dalam tempoh yang singkat apabila diberikan akses penuh, sehingga menjejaskan simpanan hari tua.

“Kerana masalah yang kita nampak sekarang, bila orang tu dapat akses, ada kebanyakan juga yang cepat habiskan. Jadi bila zaman akhir hayatnya, dia tak ada simpanan yang cukup.

“Jadi yang pentingnya kita nak buat kajian dengan betul. Jadi kita buat kajian dengan betul dan kita dah dapat kelulusan, baru kita boleh buat,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan kini dalam peringkat meneliti mekanisme pelaksanaan skim itu agar ia dapat dilaksanakan secara praktikal dan tersusun.

“Dan saya rasa dalam kajian tu, kita akan melihat cara-cara pelaksanaan dan kita akan jadi praktikal. Di mana seperti saya terangkan dulu pun, kita kata untuk mereka yang baru masuk EPF, bukan untuk mereka yang ada dalam EPF sekarang.

“Namun mereka yang dalam EPF sekarang, kalau ada peluang untuk tu, mereka diberi pilihan untuk masuk dalam skim tu juga. Terima kasih,” katanya.

Terdahulu, KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum cadangan kerajaan untuk melaksanakan skim pencen bulanan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

KWSP menjelaskan, cadangan tersebut masih diteliti secara menyeluruh dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas sesi libat urus bersama pihak berkepentingan serta mempertimbangkan kepentingan jangka panjang ahli.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button