JENAYAH & MAHKAMAH

Skandal RM45 juta Jabatan Air Sabah: Bekas pengarah didapati bersalah, dua lagi dibebas

KOTA KINABALU – Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM45 juta pada 2016.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan tersebut selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Bagaimanapun, isterinya Fauziah Piut, 61, yang berdepan 19 pertuduhan sama dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah, menurut laporan Metro Online.

Turut dibebaskan ialah bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 72, yang sebelum ini menghadapi empat pertuduhan pengubahan wang haram selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut melepaskan Ag Mohd Tahir dan Fauziah daripada dua pertuduhan bersama berkaitan pengubahan wang haram.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi di Sabah dan Kuala Lumpur antara Oktober hingga November 2016 mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

Kes berkenaan menjadi antara skandal rasuah terbesar di Sabah selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan pada 2016 dan menemui timbunan wang tunai, barang kemas serta aset mewah di beberapa premis berkaitan.

Imej wang tunai bertimbun dalam bilik dan bertaburan di lantai yang tular ketika itu mencetuskan perhatian meluas masyarakat serta dianggap antara rampasan terbesar pernah direkodkan SPRM di Sabah.

Perbicaraan kes bermula pada Mei 2018 dengan pihak pendakwaan memanggil puluhan saksi termasuk pegawai penyiasat, pegawai bank dan beberapa tokoh berkaitan sebelum keputusan akhirnya diumumkan hari ini selepas melalui beberapa siri penangguhan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button