BERITA SEMASA

Sistem kemasukan MRSM, SBP diselaras mulai tahun hadapan

LENGGONG – Sistem kemasukan pelajar ke ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan diselaraskan bermula pengambilan Januari tahun hadapan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pemohon masih boleh memohon ke kedua-dua institusi pendidikan tersebut, namun hanya akan menerima satu tawaran sahaja.

“Pada masa ini, pemohon mungkin menerima dua tawaran, khususnya pelajar yang memohon ke MRSM dan SBP.

“Apa yang berlaku, MRSM akan mengeluarkan surat tawaran terlebih dahulu, tetapi apabila mereka menerima tawaran kedua (SBP), mereka cenderung untuk beralih ke sekolah berasrama penuh. Oleh itu, saya mencadangkan supaya dilakukan penyelarasan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata selepas menghadiri program Wacana Aspirasi bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di MRSM Lenggong, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kemudian berkata, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memastikan sekolah berasrama termasuk MRSM memberikan tumpuan kepada pendidikan STEM.

“Ini kerana kita mahu melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan serta bidang-bidang profesional lain sebagai persediaan ke arah menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan maju,” katanya lagi.

Menyentuh isu buli, beliau menegaskan perlakuan sedemikian tidak mempunyai tempat di MRSM, dan mana-mana pelajar yang terbukti terlibat dalam perlakuan tersebut akan dikenakan tindakan buang sekolah.

“Saya sama sekali tidak bertolak ansur terhadap perlakuan buli di MRSM, dan saya amat bersetuju dengan tagline Pengerusi MARA, ‘you touch, you go’.

“Kita mahu 100 peratus pelajar MRSM memiliki akhlak, budi pekerti dan sahsiah terpuji, bukan hanya cemerlang dari segi akademik,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button