Shamsul Iskandar dan Albert Tei tidak mengaku salah terima, beri rasuah RM64,924
SHAH ALAM – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei masing-masing tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas satu pertuduhan rasuah berjumlah RM64,924.
Shamsul Iskandar, 51, dan Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Chiann Cheing, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Shamsul Iskandar sebagai ejen kerajaan iaitu Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri didakwa memperoleh suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Rahmalidya Buyong bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya Kuala Lumpur daripada Albert Tei.
Suapan itu sebagai dorongan bagi membantu syarikat yang mempunyai kepentingan kepada Albert Tei untuk mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Country Heights, Kajang, Selangor antara 28 November 2023 dan 23 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Albert Tei pula didakwa memberi suapan dalam bentuk wang tunai bernilai RM64,924 kepada Shamsul Iskandar. Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17(b) akta sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Ezlin Yusop Khan memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan RM150,000 dengan dua penjamin ke atas Shamsul Iskandar, selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri dua kali sebulan di pejabat SPRM terdekat serta tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian membenarkan Shamsul Iskandar diikat jamin sebanyak RM150,000 dengan dua penjamin, manakala Albert pula dibenarkan ikat jamin RM70,000 dengan dua penjamin
Farah Ezlin turut memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948 berikutan tertuduh juga didakwa dengan empat lagi pertuduhan rasuah di mahkamah berkenaan, semalam.
Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad Yusmadi Yusoff dan Joshua Tay yang mewakili Shamsul Iskandar tidak membantah permohonan itu.
Barisan peguam terdiri daripada Mahajoth Singh, Eric Paulsan dan Rajesh Nagarajan yang mewakili Albert Tei turut tidak membantah permohonan itu.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan berkenaan dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Januari 2026.
Baca juga : Saya akan buktikan saya tidak bersalah – Shamsul Iskandar
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








