PERNAH tak kita keluar ke pusat beli belah, masuk satu kedai ke satu kedai, tengok baju, kasut, alat elektrik tapi keluar tangan kosong?
Kalau ya, jangan risau. Anda bukan pelik. Sebenarnya, ramai rakyat Malaysia buat benda yang sama.
Aktiviti ini adalah window shopping atau bahasa mudahnya jalan-jalan cuci mata. Tapi jangan pandang rendah ya, sebab sekarang window shopping bukan lagi aktiviti ‘saja-saja’, ia sudah jadi gaya hidup moden yang makin popular di Malaysia.
Secara peribadi, saya pun antara orang yang suka keluar window shopping, bukan sebab tak ada duit semata, tapi sebab kadang-kadang kita cuma nak tengok dunia luar, rasa connected dengan suasana, dan cari mood tenang selepas hari yang sibuk.

Ada ketikanya, tengok display yang cantik di butik atau bau haruman baru di kedai kosmetik pun sudah cukup buat kita rasa lebih segar.
Menurut laporan NielsenIQ Malaysia pada tahun 2023, lebih 68 peratus pengguna Malaysia memilih untuk ‘melihat-lihat dulu’ sebelum membeli dan sebahagian besar daripada mereka memang keluar rumah tanpa niat pun nak beli apa-apa.
Mereka hanya mahu tahu apa yang tengah trending, tengok promosi terkini atau sekadar habiskan masa dengan cara yang lebih tenang dan menyeronokkan.
Saya kira, ini juga mencerminkan sikap pengguna kita yang lebih berhati-hati dan analitik serta tidak terburu-buru dalam membuat keputusan.
Aktiviti ini bukan saja menjimatkan wang, tapi dalam masa yang sama boleh bantu kita buat pilihan yang lebih bijak dan terancang.
Menariknya, kajian oleh pakar psikologi dari Universiti Malaya pada tahun 2022 menemui sesuatu yang mungkin mengejutkan iaitu window shopping boleh meningkatkan hormon dopamin dalam otak iaitu hormon yang buat kita rasa gembira dan puas hati.
Maksudnya, walaupun tak beli, sekadar tengok barang yang cantik atau idaman hati pun dah cukup untuk beri rasa seronok, macam terapi emosi versi bajet.
Ini mungkin sebab kenapa ramai orang suka keluar ke pusat beli belah selepas hari kerja yang memenatkan.
Tengok-tengok barang, ambil gambar, lepak minum kopi semua itu dapat membantu tenangkan minda.
Dan terus terang, saya sendiri kadang-kadang rasa lebih relaks lepas sesi ‘tengok-tengok’ ini berbanding habiskan masa scroll telefon di rumah.
Kalau kita tengok trend sekarang, pusat beli belah juga sudah berubah fungsinya.
Ia bukan lagi tempat nak beli barang semata-mata, tapi jadi lokasi untuk lepak, healing dan sosial.
Contohnya, The Exchange TRX di Kuala Lumpur bukan sekadar mall, tapi lengkap dengan taman atas bumbung, ruang bersantai, galeri seni dan macam-macam spot OOTD.

Sama juga dengan Toppen Shopping Centre di Johor Bahru yang ada skate park, ruang bermain kanak-kanak dan kawasan hijau terbuka.
Semua ini menunjukkan betapa seriusnya pemilik mall nak jadikan tempat mereka sebagai destinasi hangout, bukan tempat beli belah semata-mata.
Bagi saya, ini satu usaha yang patut dipuji, sebab ia menjadikan mall lebih inklusif dan mesra semua lapisan masyarakat.
Fenomena window shopping juga semakin popular di media sosial. Di TikTok dan Instagram, kita boleh nampak trend window shopping haul, iaitu video orang tunjuk barang-barang menarik yang mereka jumpa semasa keluar, walaupun tak beli.
Nampak macam pelik, tapi ia sangat menghiburkan dan boleh jadi inspirasi kepada orang lain untuk cari benda yang sama atau cari gaya baru.
Malah, ada orang gunakan video sebegini untuk review harga dan kualiti tanpa perlu beli sendiri.

Sebagai pemerhati media sosial, saya nampak trend ini membantu komuniti pengguna saling berkongsi info dengan cara yang ringan dan realistik.
Walaupun aktiviti ini nampak macam tak bagi keuntungan langsung kepada peniaga, sebenarnya ia tetap membantu ekonomi runcit secara tidak langsung.
Laporan dari Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia (PPK Malaysia) menunjukkan bahawa foot traffic di pusat beli belah meningkat sekitar 30 peratus selepas pandemik.
Malah, pengunjung yang datang sekadar tengok-tengok tetap memberi impak positif. Kehadiran ramai orang di mall beri peluang kepada kedai untuk tonjolkan jenama, buat promosi visual dan dalam jangka masa panjang bantu tarik pelanggan setia.
Jadi, walaupun kita tak beli apa-apa hari itu, mungkin minggu depan kita datang semula dengan keputusan yang lebih yakin. Itulah kuasa ‘tengok dulu, beli kemudian’.
Kesimpulannya, window shopping bukan sekadar aktiviti ‘buang masa’ seperti yang sesetengah orang fikir.
Ia sebenarnya satu bentuk hiburan, rawatan emosi dan cara untuk kita kekal update dengan trend terbaharu tanpa perlu membazir duit.
Dalam dunia yang serba laju dan kadang-kadang membebankan ini, keluar tengok-tengok barang tanpa tekanan untuk membeli sebenarnya satu bentuk self-care yang patut diraikan.
Dan siapa tahu, kadang-kadang daripada tengok-tengok, tercetus pula impian yang satu hari nanti akan kita capai.
Oleh ADIB HAIQAL SUBHI
Pelajar Komunikasi, Fakulti Kepimpinan Dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






