Serangan wartawan sukan bermotif peribadi – Polis
KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan serangan ke atas wartawan sukan, Haresh Deol, di Bangsar semalam berpunca daripada pertikaian peribadi, bukan isu berkaitan tugas kewartawanan.
Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, Ketua Polis Daerah Brickfields berkata, siasatan awal menunjukkan suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun dan tidak bekerja bertindak atas sebab peribadi.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian sehingga siasatan selesai.
“Motif serangan setakat ini adalah lebih kepada hal peribadi. Kes masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.
Semalam, Chang Hook mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga pengasas bersama portal berita TwentyTwo13 berhubung kejadian itu.
Suspek ditahan awal pagi tadi di Taman Ikan Emas, sekitar pukul 2 pagi, sebelum direman tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Polis menerima laporan kejadian daripada Haresh pada pukul 4 petang semalam di Pondok Polis Bangsar. Insiden berkenaan berlaku di Jalan Maarof, berhampiran kawasan parkir sebuah pusat beli-belah ketika wartawan itu berjalan menuju ke Jalan Telawi.
Sebelum itu, Haresh dalam satu hantaran di laman X memaklumkan beliau didatangi dua lelaki yang menyerangnya, sementara seorang lagi individu merakam kejadian menggunakan telefon bimbit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


