SAM kesal pokok tualang berusia 120 tahun ditebang
KOTA BHARU – Penebangan sebatang pokok tualang berusia lebih 120 tahun berhampiran Kampung Sungai Bayu, Gua Musang bagi memberi laluan kepada pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keprihatinan pemuliharaan biodiversiti dalam pelaksanaan projek infrastruktur negara.
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyuarakan kekesalan terhadap tindakan tersebut, sambil menegaskan pokok tualang berkenaan mempunyai nilai tinggi dari sudut sosioekonomi, ekologi dan perubatan, selain menjadi lambang kekayaan biodiversiti tempatan.
Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, pokok tersebut sepatutnya dipelihara memandangkan kepentingannya kepada ekosistem setempat.
“Oleh kerana kurangnya ‘kefahaman’ dan ‘kesedaran’ semasa merancang pembinaan lebuh raya tersebut, aspek pengekalan spesies pokok berkepentingan khususnya dan eko sistem sensitif umumnya tidak dititik beratkan.
“Ia bagai tiada kesepakatan diantara agensi pembangunan infrastuktur dengan agensi pemuliharaan biodiversiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pada peringkat perancangan, jajaran lebuh raya berkenaan sepatutnya boleh diubah sedikit bagi mengekalkan dirian pokok tualang terbabit.
Meor Razak berkata, keunikan pokok tualang berhampiran Kampung Sungai Bayu itu adalah kerana ia tumbuh secara semula jadi di luar kawasan perlindungan, khususnya di luar Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Tambah beliau, ketika ini agak sukar untuk menemui pokok tualang yang tumbuh secara semula jadi di luar kawasan perlindungan terutama di luar HSK.
“Berdasarkan ketetapan Majlis Perhutanan Negara (MPN) ke-20 pada 2024, tualang merupakan salah satu spesies pokok perlindungan yang tidak boleh ditebang tetapi ketetapan tersebut hanya tertakluk kepada spesies-spesies pokok di dalam HSK sahaja.
“Persoalan juga timbul sama ada penebangan pokok tualang terbabit mematuhi Seksyen 35A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) berkaitan Perintah Pemeliharaan Pokok,” katanya.
Beliau berpandangan sudah sampai masanya pihak berkuasa menambah baik dasar serta peruntukan undang-undang sedia ada bagi melindungi spesies pokok dan tumbuhan tertentu yang mempunyai nilai biodiversiti serta bersifat endemik, walaupun tumbuh secara semula jadi di luar kawasan perlindungan.
Sementara itu, media sebelum ini melaporkan bahawa empat cubaan menebang pokok tualang berkenaan sebelum ini gagal, malah individu yang terlibat dikatakan mengalami demam selama lebih seminggu setiap kali percubaan dilakukan.
Pengurusan Trafik bagi projek LTU Pakej 2A, Zillullah Zakaria, 30, berkata, pihaknya turut mengadakan solat hajat dan bacaan al-Quran sebelum memulakan kerja-kerja menebang pokok setinggi 60 meter dan berusia lebih satu abad itu, memetik laporan Sinar Harian.
Menurutnya, selepas berbuat demikian, urusan menebang pokok yang didakwa ‘kebal’ dan mempunyai pelbagai kisah mistik itu berjalan lancar sehingga berjaya ditumbangkan dengan sempurna.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
