GAYA HIDUPRENCANA

Salah laku seksual: Pulihkan keyakinan remaja melalui psikologi dan pendidikan nilai

ISU salah laku seksual dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar sekolah bukan lagi perkara terpencil, sebaliknya mencerminkan gejala sosial yang semakin membimbangkan dalam sistem pendidikan negara.

Daripada kes gangguan seksual sesama rakan, penyebaran video tidak senonoh hingga kepada insiden buli, situasi itu menuntut tindakan tegas serta pendekatan menyeluruh melibatkan sekolah, ibu bapa dan pihak berkuasa.

Lebih teruk, fenomena ini bukan sekadar kegagalan disiplin tetapi turut memperlihatkan kelompongan nilai dan akhlak dalam diri remaja masa kini.

Kes melibatkan salah laku di kalangan pelajar memperlihatkan kelompongan nilai dan akhlak dalam generasi masa kini. – Foto Hiasan

Dalam era digital yang serba terbuka, sempadan moral semakin kabur menjadikan pendidikan rohani dan bimbingan keluarga amat penting bagi membentuk peribadi berakhlak.

Ketua Jabatan dan Kaunselor Berdaftar, Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Norsayyidatina Che Rozubi berkata, pendekatan psikologi memainkan peranan besar dalam membantu pelajar yang terlibat dalam salah laku seksual untuk pulih serta membina semula keyakinan diri.

“Kaunseling bukan sekadar hukuman atau tindakan disiplin, tetapi usaha pemulihan emosi dan pembinaan semula identiti diri pelajar.

“Ramai antara mereka datang daripada latar belakang trauma sama ada pernah menjadi mangsa penderaan, terdedah kepada bahan lucah sejak kecil atau membesar dalam keluarga bermasalah,” katanya kepada Malaysia Tribune baru-baru ini.

Menurut beliau, dalam sesi kaunseling, pendekatan seperti Trauma-Focused Therapy dan Cognitive Behavioural Therapy (CBT) digunakan bagi membantu pelajar memproses pengalaman lalu serta menggantikan pemikiran negatif dengan pandangan lebih realistik dan positif.

Dr Norsayyidatina menegaskan kaunseling memberi peluang kedua kepada pelajar bermasalah untuk membina semula masa depan. 

Beliau turut berkongsi pengalaman mengendalikan kes pelajar yang tular akibat video tidak senonoh hingga mengalami kemurungan dan hilang keyakinan diri.

“Melalui intervensi bersepadu melibatkan pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah, individu tersebut akhirnya berjaya kembali meneruskan pelajaran.

“Kaunseling memberi peluang kedua kepada pelajar membantu mereka memahami kesilapan, memikul tanggungjawab dan membina semula harapan masa depan,” jelasnya.

Dr. Norsayyidatina turut menegaskan bahawa tiada satu kaedah tunggal yang mampu menyelesaikan semua kes.

Namun, gabungan kaunseling psikologi, terapi trauma, sokongan keluarga serta pemantauan berterusan oleh pihak sekolah dan komuniti dilihat sebagai pendekatan paling berkesan.

Psikologi Kaunseling
Pelajar yang terlibat dalam isu buli perlu menjalani sesi kaunseling untuk membina semula keyakinan diri. – Foto Hiasan

Beliau menyifatkan pelaksanaan sistem mentor atau “buddy system” di beberapa sekolah sebagai contoh pendekatan berasaskan kasih sayang yang mampu memberi kesan lebih mendalam berbanding hukuman semata-mata.

“Remaja yang dipinggirkan mudah kembali kepada tingkah laku berisiko. Sebaliknya, apabila mereka diberi ruang untuk berubah dan disokong oleh keluarga serta sekolah, proses pemulihan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Dalam konteks pencegahan, beliau menekankan kepentingan langkah awal seperti mengenal pasti perubahan tingkah laku pelajar, mewujudkan komunikasi terbuka mengenai isu seksualiti serta melaksanakan pendidikan seks berasaskan nilai sejak usia muda.

“Ibu bapa perlu peka terhadap tanda-tanda seperti perubahan emosi, kecenderungan berahsia dengan telefon atau minat melampau terhadap kandungan seksual yang tidak sesuai dengan usia.

“Guru juga perlu dilatih untuk mengesan simptom awal seperti buli seksual, sentuhan tidak wajar atau penyebaran bahan lucah dalam kalangan pelajar,” ujarnya.

Golongan pelajar perlu dididik dengan nilai agama dan moral agar tidak melakukan perkara yang bersalahan dengan prinsip undang-undang.

Tambah beliau, pendidikan seks yang berkesan perlu menggabungkan aspek biologi, emosi, tanggungjawab, agama dan moral agar pelajar bukan sahaja memahami risiko, tetapi juga mempunyai nilai diri serta rasa hormat terhadap orang lain.

“Tanpa asas agama dan moral, remaja mungkin tahu apa yang salah, tetapi tetap melakukannya kerana tiada rasa bersalah atau tanggungjawab.

“Pendidikan berasaskan nilai melengkapkan proses pembelajaran supaya mereka bukan sekadar faham akibat, tetapi juga mampu menilai dan menghormati diri sendiri,” katanya.

Kesimpulannya, Dr. Norsayyidatina menegaskan, pemulihan remaja yang terlibat dalam salah laku seksual bukanlah tugas kaunselor semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara keluarga, sekolah dan komuniti bagi membina semula keyakinan serta masa depan mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button