LUAR NEGARA

Ribut salji cetus nahas besar di Michigan, lebih 100 kenderaan terlibat

MICHIGAN – Keadaan cuaca ekstrem akibat ribut salji menyebabkan lebih 100 kenderaan terbabit dalam satu kemalangan berantai besar di Lebuh Raya Antara Negeri I-96 di Ottawa County, Michigan, Amerika Syarikat (AS), sekali gus memaksa penutupan sementara laluan berkenaan semalam.

Menurut pihak berkuasa, insiden itu mengakibatkan beberapa orang cedera, namun setakat ini tiada kematian dilaporkan.

Semua mangsa yang mengalami kecederaan telah menerima rawatan dengan sebahagian daripada mereka dihantar ke hospital berhampiran.

Laporan CNN memetik polis negeri Michigan sebagai berkata, kemalangan tersebut dipercayai berpunca daripada jarak penglihatan yang sangat terhad akibat salji tebal serta keadaan jalan yang licin.

Seorang lelaki yang terlibat dalam nahas itu berkata, dia hampir tidak dapat melihat kenderaan di hadapannya ketika memandu pada kelajuan sekitar 32 hingga 40 kilometer sejam sebelum perlanggaran berlaku.

“Saya hanya nampak samar-samar kereta di depan kerana salji,” katanya kepada media tempatan sambil menambah keadaan jalan raya ketika itu amat licin.

Sementara itu, laporan USA Today menyebut bahawa pasukan kecemasan mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan mangsa serta mengalihkan kenderaan yang rosak berikutan cuaca buruk yang berterusan.

Pihak berkuasa terpaksa menutup sementara lebuh raya I-96 bagi membolehkan operasi menyelamat, pengalihan kenderaan dan kerja pembersihan jalan dijalankan, selain menasihatkan pemandu supaya menggunakan laluan alternatif.

Insiden itu berlaku ketika beberapa kawasan di Michigan sedang dilanda ribut musim sejuk dengan pihak berkuasa mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati di jalan raya serta mematuhi amaran cuaca demi mengelakkan kejadian tidak diingini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button