AGAMA

Qunut Nazilah: Jangan jadikan doa alat fitnah dalam politik – Ustaz Ahmad Fahmi Azalee

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Fahmi Azalee menegaskan bahawa penggunaan Qunut Nazilah sebagai senjata politik untuk mendoakan keburukan terhadap pihak lawan adalah satu penyelewengan daripada tujuan asal syariat dan mencemarkan adab berdoa dalam Islam.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau semalam, Ustaz Ahmad Fahmi berkata, isu Qunut Nazilah yang kembali hangat menuntut semua pihak kembali kepada disiplin ilmu dan adab syariat, bukan bertindak mengikut sentimen atau emosi partisan.

“Saya tidak menyokong mana-mana pihak. Ini adalah pendirian saya.

“Dalam agama, kita diajar bahawa politik hanyalah urusan ijtihad manusia, bukan perkara qat’ie yang menentukan iman dan kufur,” tegasnya.

Ustaz Ahmad Fahmi menegaskan dalam isu Qunut Nazilah, ia menuntut semua pihak kembali kepada disiplin ilmu dan adab syariat, bukan bertindak mengikut sentimen atau emosi partisan.

Menurut beliau, perbezaan pandangan politik tidak wajar dijadikan alasan untuk mendoakan keburukan sesama Muslim kerana doa dalam bentuk Qunut Nazilah hanya disyariatkan ketika umat Islam benar-benar ditindas atau diancam secara nyata oleh musuh yang jelas.

“Menjadikannya sebagai senjata politik untuk menghukum pihak yang berbeza pandangan adalah menyalahi roh ibadah dan tiada dalil yang membenarkannya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menekankan keperluan untuk kembali kepada Fiqh al-Mizan iaitu neraca syariah yang mengajar umat Islam menilai sesuatu isu secara adil dan seimbang tanpa terperangkap dalam fanatisme politik.

“Politik hari ini ibarat cermin retak. Setiap kata yang diucapkan akan dipantulkan mengikut warna kaca mata penyokong.

“Jika selari dengan Parti A, geng A akan puji. Jika memihak kepada Parti B, geng B pula akan angkat. Beginilah politik manusia,” ujar beliau.

BACA : WADAH kecam penyalahgunaan Qunut Nazilah, tuduhan qazaf dalam demonstrasi politik

Namun, katanya, hakikat kebenaran tidak terikat pada mana-mana pihak.

“Yang hak tetap hak walau datang daripada lawan dan yang batil tetap batil walau lahir daripada pihak sendiri,” tambahnya.

Beliau turut memberi peringatan bahawa doa yang lahir daripada lidah tanpa kejernihan hati tidak akan diterima Allah SWT.

“Lidah yang memohon rahmat tetapi hati dipenuhi dendam hanya menambah luka di tubuh umat. Dalam keadaan umat yang semakin rapuh ini, biarlah doa menjadi cahaya yang menyatukan, bukan api yang membakar ukhuwah,” katanya.

Ustaz Ahmad Fahmi menutup kenyataannya dengan menyeru agar umat Islam memelihara adab dalam berdoa dan berpolitik serta tidak menjadikan doa sebagai fitnah demi agenda politik.

“Politik adalah ijtihad, sedangkan doa adalah amanah. Jangan sampai kerana politik, doa kita menjadi fitnah,” ungkapnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button