BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANMALAYSIA MADANI

Putrajaya FOI 2025 catat kejayaan cemerlang, jadi gerakan nasional perkukuh budaya kreativiti, ilmu dan inovasi

PUTRAJAYA – Festival of Idea Putrajaya 2025 (Putrajaya FOI) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang setelah berlangsung selama lima hari bermula 4 hingga 8 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sekali gus mencipta sejarah sebagai gerakan nasional yang memperkukuh budaya ilmu, kreativiti dan inovasi di seluruh negara.

Edisi kedua penganjuran itu menandakan satu lonjakan baharu apabila FOI diperluaskan ke seluruh negara dengan penganjuran di 13 negeri sepanjang Oktober 2025, sebelum acara kemuncak diadakan di Putrajaya dengan tema “MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea.”

Putrajaya FOI
Penganjuran Putrajaya FOI edisi kedua mencatat kejayaan cemerlang sekali gus menjadi gerakan nasional memperkukuh budaya kreativiti, ilmu dan inovasi.

Kejayaan besar FOI 2025 turut diiktiraf apabila Jemaah Menteri memutuskan festival itu dijadikan acara tahunan nasional, dimasukkan dalam kalendar rasmi negara serta berpotensi diperluaskan ke peringkat serantau melalui Program Pendidikan Tinggi ASEAN.

Kehadiran 2.05 juta pengunjung, bukti sokongan padu rakyat

FOI 2025 mencatat kehadiran luar biasa dengan 2.05 juta pengunjung termasuk 550,000 secara fizikal dan 1.55 juta secara maya.

Angka ini membuktikan minat tinggi rakyat terhadap platform berasaskan ilmu dan idea yang mendorong pembangunan negara.

FOI Putrajaya
Festival ini diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai Sidang Wacana Akademik Terbanyak dalam Satu Acara Idea dan Inovasi di Malaysia.

Pelbagai segmen utama diadakan antaranya Sidang MyIDEAS yang menjadi pentas wacana berimpak tinggi dengan 234 sesi perbincangan melibatkan 251 pemimpin, pakar bidang, akademia dan pemain industri.

Sidang itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Sidang Wacana Akademik Terbanyak dalam Satu Acara Idea dan Inovasi di Malaysia.

Selain itu, MyIDEAS Connect yang menampilkan pameran interaktif turut menarik lebih 2,000 pempamer daripada IPTA, IPTS, industri, agensi kerajaan dan masyarakat, melibatkan lebih 200 pavilion dan reruai pameran.

Kerjasama strategik dan pulangan pelaburan lebih RM172 juta

Sepanjang penganjuran, FOI 2025 berjaya menyaksikan 102 perjanjian kerjasama strategik termasuk MoU, MoA dan LoI dengan jumlah pulangan pelaburan (ROI) melebihi RM172 juta.

Kerjasama itu melibatkan bidang penyelidikan, inovasi serta perkongsian perkhidmatan antara kementerian, institusi pendidikan tinggi dan industri.

FOI Putrajaya
Sepanjang penganjuran Putrajaya FOI berjaya mencatat perjanjian kerjasama strategik dengan jumlah pulangan pelaburan melebihi RM172 juta.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen KPT untuk memperkukuh jaringan kolaborasi antara universiti dan industri.

“Sebahagian besar kerjasama ini memfokus kepada penyelidikan berimpak tinggi termasuk sektor kesihatan dan pertanian, di samping peluang latihan industri yang membolehkan pelajar mendapat pendedahan sebenar di lapangan,” katanya.

Idea Vault himpun 10,000 idea baharu

Satu lagi pencapaian penting ialah kejayaan Inisiatif Idea Vault, platform yang menghimpunkan hampir 10,000 idea kreatif berpotensi menjadi solusi inovatif terhadap isu semasa.

Semua idea itu telah dianalisis oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan 15 idea terbaik dinobatkan sebagai pemenang utama.

Sokongan diraja dan pengiktirafan nasional

Selain itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut berkenan mencemar duli menghadiri FOI 2025 dan melawat Pameran Imersif Inovasi Sarjana Muslim yang menampilkan keagungan tamadun Islam dan sumbangan ilmuwan Muslim dalam pelbagai bidang sains, perubatan dan kejuruteraan.

FOI Putrajaya
Raja Zarith Sofiah berkenan mencemar duli melawat Pameran Imersif Inovasi Sarjana Muslim sempena Putrajaya FOI.

Lawatan Baginda jelas mencerminkan iltizam tinggi Istana Negara dalam mendukung usaha memperkasakan budaya ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam pendidikan tinggi negara.

Seruan Perdana Menteri: Jana idea demi kesejahteraan negara

Majlis penutupan rasmi Putrajaya FOI telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan Bicara Idea Negara dengan menyeru golongan muda agar terus menjana idea berasaskan nilai dan akhlak.

FOI Putrajaya
Perdana Menteri berucap pada majlis perasmian penutup festival berprestij itu.

“Pendidikan bukan sekadar menimba ilmu, tetapi menjana idea sebagai pendorong kehidupan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan kemanusiaan. Idea mesti berakar di bumi, berpaksikan keyakinan serta akhlak,” tegas beliau.

Perdana Menteri turut menegaskan pentingnya “memanusiawikan teknologi” agar kemajuan seperti kecerdasan buatan (AI) tidak terpisah daripada nilai moral dan etika.

Anugerah AKRI 2025 bukti komitmen KPT terhadap pendidikan

Sebagai sebahagian daripada pengisian FOI 2025, Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2025 turut dianjurkan bagi mengiktiraf inovasi dalam reka bentuk kurikulum dan penyampaian pedagogi.

FOI Putrajaya
Anugerah AKRI bertujuan mengiktiraf inovasi dalam pedagogi dan kurikulum pendidikan tinggi.

Seramai 17 pemenang daripada enam kategori dinobatkan termasuk Ts. Dr. Hamzah Asyrani Sulaiman (UTeM) dan Dr. Dzeti Farhah Mohshim (UTP) yang diangkat sebagai Johan Bersama bagi kategori Kurikulum Program Pengajian Inovatif.

Pendidikan tinggi teras pembangunan MADANI

Secara keseluruhannya, penganjuran Putrajaya FOI 2025 membuktikan kesungguhan KPT dalam menjadikan pendidikan tinggi sebagai teras pembangunan negara MADANI yang menyeimbangkan kemajuan ilmu, teknologi dan nilai kemanusiaan.

FOI Putrajaya
Putrajaya FOI 2025 menjadi bukti kesungguhan KPT menjadikan pendidikan tinggi sebagai teras pembangunan negara MADANI.

Dengan sambutan luar biasa, pengiktirafan rekod baharu dan kerjasama strategik bernilai ratusan juta ringgit, FOI 2025 bukan sekadar festival tetapi telah menjadi gerakan nasional ilmu dan inovasi yang menghubungkan idea, insan dan masa depan Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button