AGAMABERITA SEMASA

PU Syed tegur trend artis buka hijab, anggap kesesatan nyata

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed menegur trend segelintir artis wanita yang berundur daripada berhijab dengan kembali membuka tudung.

Menerusi satu kenyataan di media sosial, beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai ‘kesesatan nyata’ dan tidak wajar dijadikan contoh kepada para peminat.

“Jika benar kenyataan itu datang daripadanya, maka ianya adalah kesesatan yang nyata. Trend ‘berundur’ daripada berhijab kepada membuka hijab bukanlah suatu yang baik untuk ditonjolkan kepada peminat.

“Istilah ‘jadi diri sendiri’ hanyalah mainan syaitan yang berjaya membisikkan hasutannya kepada seseorang,” katanya.

Hantaran tersebut turut disertakan dengan tangkap layar sebuah akhbar tempatan yang berbunyi: “Sekarang lebih rapat dengan Tuhan, walau tak lagi bertudung.”

PU Syed
Tangkap layar tajuk akhbar yang dikongsi PU Syed mengenai tindakan seorang artis berhijab yang membuka tudung. 

PU Syed turut melahirkan kebimbangan terhadap keadaan industri hiburan tanah air yang disifatkan semakin ‘tenat’ dengan penganjuran program melalaikan.

“Program-program lagha segar membugar dianjurkan.

“Anak-anak muda perempuan dan lelaki menari terkinja-kinja. Paling menyedihkan, ada ayah yang redha anaknya berpakaian ketat dan diusung penari lelaki demi persembahan terbaik, walaupun semuanya mendatangkan dosa,” katanya.

Mengulas lanjut isu artis yang membuka hijab, PU Syed menyatakan tindakan itu bukanlah jalan sebenar untuk ‘menjadi diri sendiri’ atau mendekatkan diri kepada Allah.

“Dalam isu cabut tudung artis di atas, pasti ayahmu akan tersangat sedih di barzakh sana. Nak jadi diri sendiri atau nak dekat dengan Allah bukan dengan jalan melakukan maksiat kepada-Nya,” katanya lagi.

PU Syed turut mengingatkan agar masyarakat tidak terlalu leka dengan hiburan hingga melupakan penderitaan umat Islam lain.

“Cukup-cukuplah berseronok melakukan maksiat sedangkan saudara kita di Gaza menderita,” katanya sambil berdoa agar Allah memberi petunjuk dan kekuatan kepada umat Islam untuk taat kepada perintah-Nya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button