PRN Johor: Norlaili tekad fokus isu asas rakyat Tiram dalam 100 hari pertama
TIRAM – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Norlaili Abd Ghani berazam memberi tumpuan kepada penyelesaian isu-isu asas rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Menurutnya, dalam tempoh 100 hari pertama, fokus utama akan diberikan kepada perkara-perkara berkaitan infrastruktur, kebersihan serta kutipan sampah yang sering menjadi keperluan harian penduduk setempat.
“Pengalaman selama lapan tahun sebagai ahli majlis di Selangor membolehkan beliau memahami kaedah terbaik dalam menangani isu-isu asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Sekiranya diberi kepercayaan dan mandat oleh pengundi, saya akan memberi fokus kepada perkara-perkara asas terlebih dahulu seperti infrastruktur, kutipan sampah dan kebersihan kawasan.
“Walaupun tempatnya berbeza, asas perkhidmatan kepada rakyat tetap sama dan pengalaman yang saya miliki boleh dimanfaatkan untuk membantu penduduk di Tiram,” katanya ketika ditemui selepas sesi walkabout di Kampung Sentosa dan Kampung Cahaya Baru hari ini
Norlaili berkata, beliau berasal dari Muar dan pernah berkhidmat di Selangor selama 12 tahun, termasuk sebagai ahli majlis selain pernah bertugas sebagai setiausaha sulit di kementerian berkaitan perdagangan dan kewangan.
Mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mempertikaikan latar belakangnya kerana bukan berasal dari kawasan Tiram, beliau berkata perkara itu tidak menjadi isu besar dalam kalangan pengundi yang ditemuinya sepanjang tempoh berkempen.
Menurutnya, kebanyakan persoalan tersebut lebih banyak dibangkitkan di media sosial berbanding ketika turun bertemu rakyat di lapangan.
“Bagi saya, asal seseorang itu bukan perkara utama. Yang lebih penting ialah kesediaan untuk mendengar, belajar dan berkhidmat kepada masyarakat.
“Saya juga bukan berasal dari Selangor ketika mula berkhidmat di sana, namun apabila diberi peluang, saya melaksanakan amanah sebaik mungkin. Begitu juga komitmen saya untuk penduduk Tiram,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, penerimaan pengundi setakat ini sebagai positif dan berharap rakyat keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
“Saya menyeru semua pengundi keluar mengundi pada 11 Julai ini. Setiap undi amat penting kerana ia akan menentukan masa depan negeri serta dasar-dasar yang memberi kesan kepada kehidupan harian rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














