Polis tahan suami Zahnita Wilson
KUANTAN – Polis menahan suami kepada pelakon dan bekas model, Zahnita Wilson hari ini bagi membantu siasatan selepas wanita itu mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuantan esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 akta sama dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Sementara itu, menurut sumber, kejadian berlaku pada jam 10 pagi 26 November lalu apabila pelakon terbabit berada di kediaman di Kuantan didatangi suaminya sebelum berlaku perselisihan faham.
“Difahamkan pelakon terbabit ingin tinggal berasingan selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Ketika itu, mangsa diugut suaminya yang ingin membunuhnya jika keluar dari rumah sebelum dicederakan,” katanya.
Terdahulu, Zahnita Wilson mengejutkan ramai apabila berkongsi dua foto menampakkan matanya yang lebam dalam media sosial.
Tidak memperincikan apa yang berlaku, Zahnita atau nama sebenar, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, berkata, seboleh-bolehnya dia enggan membuka pekung di dada, namun keadaan memaksa untuknya berbuat demikian.
“Saya tidak mahu melakukan ini (kongsi foto), tetapi saya terpaksa. Ini menjadi punca kenapa saya tinggalkan rumah lama serta menjadi sebab saya selalu pakai cermin mata hitam,” tulisnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



