Polis siasat insiden pelajar Tingkatan Empat jatuh bangunan sekolah
SEREMBAN – Polis mengesahkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari blok bangunan sebuah sekolah menengah di Sendayan, di sini hari ini.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima maklumat pada pukul 10.48 pagi tadi berhubung kejadian itu.
“Laporan memaklumkan bahawa seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam kawasan sebuah sekolah menengah di daerah ini.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan serta tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau kemudiannya berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di kawasan bangunan sekolah itu.
“Polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mengenal pasti beberapa individu yang dapat membantu siasatan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Rembau, untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.
Alzafny berkata, pihak polis sedang meneruskan siasatan, termasuk mendapatkan keterangan daripada saksi dan laporan bedah siasat.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak disahkan yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Sesiapa yang ada maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Seremban atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







