Polis panggil 50 individu bantu siasatan program motivasi kontroversi
SHAH ALAM – Polis akan memanggil 50 individu termasuk penganjur dan peserta sebuah program motivasi rumah tangga yang tular baru-baru ini selepas didakwa mengandungi unsur lucah dan jelik termasuk pemberian minuman mencurigakan dikenali sebagai ‘Air Piya’.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua individu terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberikan keterangan.
“Seramai 50 individu terlibat akan dipanggil. Siapa dan bila mereka akan diambil keterangan, saya tak dapat kongsikan lagi buat masa ini.
“Keterangan daripada pasangan suami isteri yang menjadi penganjur akan diambil terlebih dahulu,” katanya memetik laporan Harian Metro.
BACA : Tanggal pakaian dalam sesi motivasi: Suami luah rasa terkilan, syukur isteri masih punya iman
Program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam itu mencetuskan kemarahan masyarakat selepas beberapa peserta tampil mendedahkan bahawa mereka diarahkan melakukan aksi tidak senonoh termasuk menanggalkan pakaian di hadapan peserta lain, kononnya sebagai sesi melepaskan stres.
Lebih membimbangkan, peserta turut mendakwa diberikan sejenis minuman dinamakan ‘Air Piya’ yang dikatakan mengandungi bahan yang boleh menyebabkan halusinasi atau khayal.
Mengulas mengenai status siasatan terhadap ‘Air Piya’, Hussein menjelaskan bahawa sampel minuman itu masih belum dihantar ke makmal forensik dan siasatan sedang dijalankan.
“Kita masih dalam proses siasatan dan belum hantar sampel ke makmal forensik. Jadi, belum dapat disahkan sama ada benar terdapat bahan psikoaktif dalam air terbabit,” katanya.
Semalam, pihak polis memaklumkan telah membuka kertas inkuiri bagi menyiasat sama ada wujud sebarang unsur jenayah dalam penganjuran program yang dikenali sebagai e-Hati.
Menurut Hussein, kenyataan saksi diperlukan terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut termasuk ujian makmal terhadap minuman tersebut dapat dijalankan.
Terdahulu, orang ramai dikejutkan dengan pendedahan di media sosial mengenai program anjuran sepasang suami isteri yang mendakwa kononnya memberi motivasi rumah tangga tetapi sebaliknya mengandungi amalan menyimpang serta melanggar batas moral dan agama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












