BERITA SEMASA

Polis akan ambil tindakan tegas jika perhimpunan #TurunAnwar cetus kekacauan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau semasa perhimpunan #TurunAnwar yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya telah menerima pemakluman awal daripada penganjur iaitu Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) dan menjangkakan kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 peserta.

Perhimpunan itu turut disertai gabungan NGO, mahasiswa dan masyarakat awam yang akan berkumpul di lima lokasi utama sebelum berarak ke Dataran Merdeka iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan Kompleks SOGO.

“Setakat 16 Julai, sebanyak 60 laporan polis telah dibuat di seluruh negara termasuk 10 di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi menjamin keselamatan orang awam, PDRM dan pengendali perkhidmatan awam akan meningkatkan kehadiran anggota di beberapa stesen pengangkutan awam seperti KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Plaza Rakyat dan lain-lain.

Walaupun tiada penutupan jalan dirancang, pemantauan dan kawalan trafik akan dilaksanakan untuk memastikan kelancaran pergerakan orang ramai.

PDRM turut menasihati penganjur dan peserta agar tidak membawa senjata tajam, bahan letupan, sepanduk berunsur 3R (kaum, agama, institusi diraja) serta mengelakkan ucapan berunsur fitnah atau membawa kanak-kanak ke lokasi perhimpunan.

“Kerjasama semua pihak amat penting. Sebarang bentuk pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan sewajarnya,” tegas beliau.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan ke Hotline Polis KL di talian 03-2115 9999.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button