Podcast Zaman Now: Suara alumni UiTM, aspirasi generasi
DALAM lautan lebih 800,000 alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM), nama Asrul Abu mungkin tidak begitu dikenali tetapi usaha yang digerakkannya melalui Podcast Zaman Now (PZN) perlahan-lahan membina gelombang tersendiri.
Diterbitkan oleh Persekutuan Alumni UiTM (PAUiTM) dengan kerjasama Office of Industry, Community and Alumni Network (iCAN) dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), podcast ini menjadi pentas suara alumni, merentasi generasi, bidang dan latar belakang untuk berkongsi kisah sebenar jatuh bangun mereka di dunia realiti.

“Kenapa Zaman Now? Sebab kita cerita tentang alumni dahulu, yang kini sudah jadi tokoh dan pakar dalam bidang masing-masing,” kata Asrul, pengendali dan hos utama podcast ini kepada Malaysia Tribune.
“Daripada pengalaman mereka, kita harap ia dapat memberi dorongan terutamanya kepada adik-adik junior di kampus dan juga kepada sesiapa sahaja yang sedang mencari arah hidup atau inspirasi,” ujarnya lagi.
Setiap minggu, Podcast Zaman Now menampilkan tetamu jemputan dari pelbagai latar belakang.
Dari selebriti seperti Farid Kamil, deejay radio Suria FM dan Hot FM, Suraya Borhan dan Fara Fauzana, peguam terkenal, Datuk Wan Azmir Wan Majid; ahli politik, Datuk Mohd Noor Helmy iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Duyung hingga influencer seperti Dyn Norahim dari Singapura, semuanya berkongsi input menarik yang memberi inspirasi.

Ada juga perbincangan yang mencuit hati, santai, malah menyentuh jiwa.
Bagi Asrul, antara episod yang paling mencabar dan menarik adalah sesi bersama Chef Ismail, seorang chef selebriti terkenal negara.
“Kata-katanya penuh spontan, pedas dan tanpa tapisan namun sarat dengan nilai dan pengalaman hidup yang tulen.
“Podcast ini bukan sekadar hiburan, ia sudah jadi satu bentuk healing, sumber rujukan untuk mereka yang tak gemar ceramah motivasi konvensional.
“Kita ambil potongan klip inspirasi dan jadikan ia makanan rohani untuk yang sedang melalui fasa sukar,” tambah bapa kepada tiga cahaya mata ini.

Menurut graduan alumni Masscom itu, pemilihan tetamu dilakukan secara kolaboratif bersama iCAN dan cadangan dari warga alumni menerusi Facebook, TikTok, Instagram dan saluran YouTube rasmi PAUiTM.
“Lebih menarik, podcast ini juga terbuka kepada individu bukan alumni sekali gus membuktikan keterbukaannya dalam meraikan kepelbagaian pandangan dan pengalaman,” kongsi beliau.
Bagaimanapun, perjalanan mengendalikan podcast tersebut tidak semudah yang disangka.
Banyak cabaran perlu diatasi termasuklah aspek teknikal.
“Bukan mudah untuk mencipta kejayaan. Podcast Zaman Now juga tidak terkecuali.
“Masalah teknikal di studio perpustakaan yang kadang kala tidak menentu, kekangan peralatan dan ‘hos yang belum popular’ menjadi antara ujian awal,” jelasnya.

Malah, lebih menyakitkan apabila sindiran seperti ‘Siapa nak dengar podcast kau, bro?’ sudah menjadi makanan harian.
Bagi lelaki berusia 44 tahun itu, semua kritikan yang diterima dianggap satu rencah perjuangan sebelum masanya tiba.
“Siapa tahu bila dah viral nanti, mulalah orang kata ‘Tu podcast kawan aku!’
“Tak salah kan kalau berangan dahulu. Mana tahu jadi kenyataan,” katanya sambil ketawa.
Kini dengan 16 episod yang telah ke udara, Asrul belum mahu berhenti.
Impiannya? Menjemput nama-nama besar seperti Datuk Johari Ghani dan menampilkan lebih ramai alumni yang tidak hanya berjaya, tetapi juga mampu menyuntik inspirasi.

“Kami bukan siapa-siapa tapi kami ada suara. Dan suara itu kami gunakan untuk membina semangat, satu episod pada satu masa,” katanya penuh semangat.
Kepada mereka yang ingin memulakan podcast sendiri, Asrul berpesan:
“Cari core anda. Jangan sekadar buat ikut trend. Faham audiens, tetapkan hala tuju.
“Sama ada nak cerita pasal kereta, motosikal, masakan atau kisah seram asalkan ada jiwa dan niat yang betul, pasti ada yang mendengar,” katanya.
Podcast Zaman Now bukan sekadar tentang masa kini, ia adalah jambatan masa antara dulu, sekarang dan akan datang, menghubungkan generasi dengan kisah-kisah benar yang membentuk dunia nyata.
Semoga Asrul dan podcastnya terus terbang tinggi, sekali gus membuktikan usaha tidak pernah mengkhianati hasil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






