POLITIK

PN tolak dua draf MoU peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang – Hamzah

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk menolak dua set deraf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat atas empat sebab fundamental.

Dakwa Hamzah, deraf MoU daripada kerajaan itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Beberapa syarat yang dikenakan dalam MoU ini dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Selain itu, Hamzah mendakwa, syarat-syarat deraf MoU itu juga bertentangan dengan nilai, budaya, moral, agama dan tempatan.

Katanya, ia juga boleh disalah tafsir dan mengakibatkan salah guna kuasa susulan tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas.

“Keadaan ini boleh membuka ruang kepada berlakunya apa-apa pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara ex-parte,” katanya.

Dalam pada itu, bagi sebab keempat, Hamzah mendakwa, deraf MoU itu mengongkong kebebasan bersuara Ahli Parlimen pembangkang.

“Setiap Ahli Parlimen mempunyai hak dan imuniti untuk bersuara bagi pihak rakyat mengikut Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952,” ujarnya.

“Sehubungan dengan itu, PN mahu mengingatkan pihak kerajaan kepada manifesto PH yang berjanji menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti dan rakyat sedang menilai apa sudah jadi dengan janji-janii tersebut,” katanya.

Pada awal bulan ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendedahkan terdapat tujuh syarat didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan sebagaimana dituntut.

Syarat itu dikatakan meliputi pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15, serta perkara berkaitan bangsa, agama dan raja (3R), di mana Takiyuddin mendakwa ada antaranya pelik serta tiada kena-mengena dengan peruntukan yang dituntut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button