
PN bukan parti perkauman
SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) bukan sebuah gabungan yang mengamalkan politik perkauman seperti yang digembar gemburkan oleh sesetengah pihak.
Naib Pengerusi 1 Sayap Bersekutu Bersatu Shah Alam, Rupaa Sri Yogisvaran berkata, perkara itu dapat dinilai berdasarkan agihan kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini yang dibuat berdasarkan jumlah majoriti penduduk tempatan.
“Kerusi DUN Batu Tiga diberi kepada calon orang Melayu kerana bilangan penduduk di sini, majoriti orang Melayu,” katanya ketika mengiringi calon PN di DUN berkenaan, baru-baru ini.
Bagi DUN Batu Tiga, PN meletakkan Datuk Seri Rina Harun sebagai calon yang akan berhadapan dengan Danial Al-Rashid dari Pakatan Harapan (PH) dan Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen (Muda).
DUN Kota Anggerik pula menyaksikan PN mempertaruhkan Sukri Omar yang akan berhadapan dengan Najwan Halimi (PH) dan Azad Akhbar Khan (Muda).
Sehubungan itu, Rupaa menyeru supaya masyarakat India keluar beramai-ramai pada 12 Ogos nanti dan mengundi calon PN bagi menjamin kesejahteraan hidup mereka.
“Pemimpin PH-BN sebelum ini menjanjikan pelbagai perkara bagi membantu kaum India, namun tidak menjadi kenyataan,” kata Rupaa.
Malah, katanya bekas wakil rakyat PH-BN sebelum ini turut menggelar kaum India di Batu Tiga sebagai India estet.
“Kami bukan India estet, sebaliknya rakyat Malaysia,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Dan Wanita Inovasi Malaysia.
Menurutnya, jentera PN akan bekerja keras bagi memastikan Shah Alam beralih ke tangan PN bermula dengan menawan DUN Batu Tiga dan Kota Anggerik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








