BERITA SEMASAPMX

PM seru penjawat awam raikan perbezaan pendapat, semangat musyawarah

PUTRAJAYA – Penjawat awam diseru meraikan perbezaan pendapat dan membudayakan semangat musyawarah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah tidak wajar jika kalangan penjawat awam terus menjatuhkan hukum terhadap sebarang perbezaan idea kerana ia tidak bermakna memberi sijil atau hak sesiapa pun untuk mencela.

Beliau menegaskan, dalam perbincangan ketua-ketua jabatan atau pegawai yang ada pengkhususan bidang itu patut bersedia memberi pandangan mereka selain dari ketua yang ditugaskan.

Dengan cara ini, kata Anwar, setiap musyawarah dan perbincangan bersama akan menjadi lebih bermakna dan berkesan sebagaimana ajaran Islam dalam hal berkaitan adab perbezaan pandangan.

“Dalam pemahaman Islam, walaupun tidak bersifat melampau, tetapi dalam keadaan biasa apabila orang bertanya dan pertikai, jangan cepat kita menghukum.

“Dengan pembenturan dan percanggahan idea, dalam merangka dasar ekonomi, pendidikan dan sebagainya, umpamanya sekarang ini kita sedang melakukan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 untuk menentukan hala tuju, saya cuba melontarkan idea Madani tetapi tidak mengekang kita untuk berbincang dan bersuara,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Pada masa sama, Anwar berkata, dalam usaha perbincangan itu turut tidak membataskan kepakaran seseorang untuk melontarkan idea dan menerima pandangan mereka yang lebih arif.

“Umpamanya pengalaman saya dengan TPM Fadillah, soal kerja raya, pelaksanaan lebuh raya, beliau lebih arif, itu bidang dia dan dia lama di situ (pernah jadi menteri kerja raya).

“Jadi, mendengar pandangan dia itu, akan membantu saya dalam memutuskan (membuat sesuatu keputusan). Itu yang saya rasa nak sampaikan.

“Maknanya wacana itu yang diperluas adalah teras dalam budaya kita,” kata Anwar lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button