BERITA SEMASA

PM arah tindakan bersepadu terhadap warga asing salah guna visa, lesen perniagaan

PUTRAJAYA – Kerajaan mengarahkan semua kementerian dan agensi berkaitan memperhebat penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing, termasuk penyalahgunaan visa pelawat dan lesen perniagaan milik rakyat tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu berkenaan semakin membimbangkan dan tidak boleh ditangani oleh satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan tindakan bersepadu melibatkan semua pihak berkaitan.

“Tindakan segera perlu diambil susulan peningkatan kes warga asing yang dipercayai menjalankan perniagaan menggunakan visa pelawat atau pelajar serta menyalahgunakan permit dan lesen (perniagaan) milik rakyat tempatan.

“Jadi langkah-langkah yang kita usulkan saya minta dilaksanakan segera termasuk oleh semua kementerian dan agensi berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Menurut beliau, penguatkuasaan itu perlu melibatkan pelbagai agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bank Negara Malaysia (BNM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Anwar berkata, beliau turut mengarahkan MCMC membantu BNM meneliti platform perdagangan elektronik (e-dagang) serta mengesan aliran transaksi kewangan yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Jika dahulu, kita menghadapi masalah daripada warga Pakistan, India, Bangladesh, Acheh (Indonesia) dan sebagainya yang membuka kedai-kedai runcit serta bekerja di pasar-pasar borong.

“Jadi, sekarang ia (kebanjiran warga China) sudah meningkat tinggi. Ramai dari negara China datang visa pelancong tetapi buka kedai kecil, kedai membaiki kenderaan dan salon kecantikan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga tempatan,” katanya.

Beliau berkata, setiap individu yang menjalankan perniagaan perlu mempunyai pendaftaran yang sah dan alamat premis tetap, selain tidak dibenarkan berniaga secara tidak teratur menggunakan struktur sementara atau bangsal.

Katanya, tindakan tegas termasuk pembatalan dan rampasan permit boleh diambil terhadap pihak yang didapati menyalahgunakan lesen perniagaan, sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Baru-baru ini ada tindakan penguatkuasaan di Semporna, Sabah yang membawa peniaga dari China dan hotel pula milik China, semuanya dari dia.

“Jadi akhirnya ada bantahan yang besar dari penduduk tempatan kerana restoran dari China, tukang ejen pelancong dari China malah kenderaan juga dimiliki oleh warga asing,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan terhadap kemudahan visa atau lesen perniagaan sehingga menjejaskan peluang ekonomi dan sumber pendapatan rakyat tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button