PKR pandang serius dakwaan kaitkan kepimpinan dengan ‘mafia korporat’
CYBERJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memandang serius dakwaan individu yang cuba mengaitkan kepimpinan parti dengan tuduhan menerima sejumlah wang bagi tujuan menyelesaikan urusan berkaitan kepentingan tertentu, termasuk dakwaan melibatkan elemen “mafia korporat”.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh dalam satu kenyataan berkata, parti itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau tohmahan terhadap kepimpinan parti tanpa sebarang asas yang sahih.
“PKR ingin menegaskan, tuduhan seumpama ini amat mudah untuk dibuat, lebih-lebih lagi oleh pihak-pihak yang terdesak untuk melepaskan diri daripada kesalahan atau salah laku mereka sendiri.
“Justeru, sebarang dakwaan yang dilemparkan tanpa bukti kukuh tidak wajar dilayan sebagai fakta, apatah lagi dijadikan bahan untuk mencemarkan reputasi individu atau parti.
“Tindakan undang-undang akan dipertimbangkan dan diambil sewajarnya, sama ada terhadap individu di dalam mahupun di luar parti,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Beliau menambah, PKR kekal komited untuk mempertahankan integriti kepimpinan serta memastikan sebarang tuduhan yang dibangkitkan ditangani melalui saluran yang sah dan berlandaskan fakta, bukannya persepsi atau agenda tertentu.
“Sehubungan itu, semua pihak diseru supaya lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengelakkan penyebaran dakwaan yang tidak disahkan yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan kestabilan politik negara,” jelasnya.
Semalam, seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Victor Chin membuat dakwaan seorang Ahli Parlimen PKR dijneali sebagai “Mr. R” meminta RM10 juta daripadanya pada Oktober 2025, kononnya bagi membantu menyelesaikan masalah undang-undangnya melalui pihak yang digelar sebagai ‘mafia korporat’.
Menurut Victor, dia telah membayar RM9.5 juta daripada jumlah tersebut, namun kini menuntut bayaran balik penuh selepas masalah berkenaan gagal diselesaikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








