
Pesawat ceroboh kawasan larangan terbang Trump
WASHINGTON – Pertahanan Angkasa Amerika Utara (NORAD) terpaksa mengerah pesawat pejuang selepas sebuah pesawat awam dikesan menceroboh ruang udara terlarang di Bedminster, New Jersey pada 13 September lalu.
Pesawat awam itu dilaporkan memasuki kawasan Temporary Flight Restriction (TFR) sekitar pukul 1.55 tengah hari (waktu tempatan) sebelum diarahkan keluar dengan kawalan ketat oleh jet pejuang NORAD.
Jurucakap NORAD memaklumkan, isyarat suar (flare) terpaksa dilepaskan bagi menarik perhatian juruterbang terbabit, namun tindakan itu dilakukan dengan kawalan penuh tanpa menjejaskan keselamatan awam.
Insiden berkenaan bukan yang pertama, sebaliknya ia susulan satu lagi pencerobohan ruang udara pada pagi hari sama, selain dua lagi pelanggaran dilaporkan keesokan harinya.
Secara keseluruhan, empat pelanggaran dicatatkan dalam tempoh dua hari berturut-turut di kawasan berkenaan.
“Penggunaan flare mungkin dapat dilihat orang ramai, namun ia cepat terbakar dan tidak membahayakan sesiapa sama ada juruterbang mahupun orang awam,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, NORAD mengingatkan semua juruterbang awam agar sentiasa memeriksa maklumat terkini Notice to Airmen (NOTAM) yang dikeluarkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) sebelum berlepas, khususnya bagi kawasan Bedminster yang terikat dengan arahan FAA NOTAMs 2089, 2104, 2127 dan 2130.
NORAD menegaskan pihaknya mempunyai sistem pertahanan berlapis menggunakan radar, satelit dan pesawat pejuang untuk mengenal pasti serta mengekang sebarang ancaman udara di ruang angkasa Amerika Syarikat dan Kanada.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








