Pertubuhan 9Cares didik komuniti luar bandar tentang keselamatan digital
Di sebalik kemudahan teknologi digital yang kini menembusi hingga ke pelosok desa, wujud ancaman senyap yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar yang masih kurang pendedahan terhadap keselamatan siber.
Bagi sebahagian masyarakat, telefon pintar bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya menjadi pintu masuk kepada pelbagai bentuk jenayah siber seperti penipuan kewangan, tawaran pekerjaan dan pelaburan palsu serta penyalahgunaan maklumat peribadi.

Kesedaran terhadap realiti itu mendorong penganjuran Program Digital Safety Awareness oleh 9Cares, sebuah inisiatif bagi meningkatkan literasi dan kesedaran keselamatan digital dalam kalangan komuniti luar bandar, yang berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Pengarah 9Cares, Badrul Hisyam Abdul Rahman berkata, sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat membuktikan masyarakat luar bandar semakin menyedari kepentingan literasi digital sebagai benteng perlindungan diri.

“Kami amat berbesar hati melihat keterbukaan penduduk Jempol untuk menambah ilmu berkaitan keselamatan digital dan memahami taktik penipuan yang semakin berleluasa. Kesedaran ini penting supaya masyarakat tidak mudah menjadi mangsa,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Tribune.
9Cares merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelajar di bawah Kolej Kediaman Tun Syed Zahirudin (KK9) dengan tajaan Universiti Malaya Cares (UM Cares).
Program berkenaan turut dijayakan dengan kerjasama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Malaya serta sokongan Parlimen Jempol, sekali gus mencerminkan kesepaduan antara institusi pendidikan dan kepimpinan setempat dalam menangani cabaran sosial era digital.

Menurut Badrul Hisyam, program itu menyasarkan penduduk berusia antara 20 hingga 60 tahun di kawasan pedalaman, dengan penekanan kepada pendedahan praktikal berkaitan keselamatan penggunaan perkhidmatan digital.
“Seramai 160 peserta hadir dan didedahkan kepada pelbagai bentuk taktik penipuan dalam talian, selain langkah melindungi maklumat peribadi dan kewangan daripada disalahgunakan sindiket scam yang semakin licik dan tersusun,” jelasnya.
Pengisian utama program disampaikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FSKTM, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Saaidal Razali Azzuhri, yang menekankan bahawa jurang pengetahuan digital menjadikan warga emas antara kumpulan paling berisiko menjadi mangsa penipuan siber.

“Ramai warga emas terpedaya dengan scam kerana kurang pendedahan terhadap aspek keselamatan digital, sedangkan penjenayah siber semakin mahir memanipulasi emosi dan kepercayaan mangsa.
“Justeru, kesedaran awal dan pendidikan berterusan adalah kunci mengurangkan risiko penipuan digital, terutama dalam komuniti yang sedang melalui peralihan kepada gaya hidup berasaskan teknologi,” katanya.
Keberkesanan pendekatan bersemuka turut dizahirkan melalui maklum balas peserta, apabila seorang daripada mereka mengakui pendedahan yang diterima membuka perspektif baharu terhadap risiko dunia siber.
“Saya kini lebih faham jenis-jenis penipuan dan cara melindungi diri serta ahli keluarga daripada menjadi mangsa scam,” katanya.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, yang menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh literasi dan keselamatan digital dalam kalangan masyarakat luar bandar, sejajar dengan peningkatan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.
Dalam landskap digital yang berkembang pesat, keselamatan siber bukan lagi isu masyarakat bandar semata-mata.
Program kesedaran seperti ini membuktikan bahawa pendidikan di peringkat akar umbi adalah langkah penting bagi memastikan kemajuan teknologi menjadi alat memperkasa komuniti, bukannya menjerat mereka sebagai mangsa jenayah digital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





