AGAMABERITA SEMASA

Pernah meminati Firaun, kini anak bongsu Azizan Osman terinspirasi sirah Rasulullah SAW

KUALA LUMPUR – Pernah terpesona dengan kisah Firaun, anak bongsu usahawan terkenal, Prof Datuk Wira Dr Azizan Osman kini menunjukkan minat mendalam terhadap sirah Rasulullah SAW.

Menerusi perkongsian di Facebook, Azizan berkata, perjalanan umrahnya kali ini amat bermakna kerana ia merupakan pertama kali buat Uthman yang berusia tujuh tahun.

Berdiri di hadapan Kaabah, Azizan mengakui terasa hiba, bahagia dan kerdil sebagai seorang hamba yang banyak menerima tetapi sedikit memberi.

“Dia sebenarnya sudah bersedia sejak Mac 2020, malah ketika itu pun sudah bersunat tetapi pandemik mengubah semua perancangan. Alhamdulillah, Allah masih beri peluang untuk kami menjadi tetamu-Nya sekali lagi,” tulis beliau.

Uthman ternyata gembira sepanjang perjalanan. Meski masih kecil, dia mampu menceritakan kisah Perang Uhud dengan begitu terperinci termasuk nama para sahabat yang syahid, jalan cerita dan pengajaran hasil menonton kandungan pendidikan di YouTube dengan bimbingan yang betul.

Namun sebelum ini, minat Uthman agak berbeza. Anak bongsunya itu pernah terpesona dengan kehebatan Firaun sehingga Azizan mula risau dengan pemahaman dan nilai yang diterima.

“Saya tanya dia, ‘Uthman… do you think Pharaoh is amazing?’ Dia jawab, ‘Yes,’ dan masih mahu bercerita tentang Firaun. Saya cabar dia dengan berkata, ‘Actually no… Pharaoh is nothing. Nobody. He even drowned in the Red Sea. Apa hebatnya?’” cerita Azizan.

Azizan kemudian menimbulkan rasa ingin tahu Uthman tentang manusia yang lebih hebat dan dikasihi Allah.

Selepas beberapa hari bertanya, Uthman akhirnya diperkenalkan kepada Rasulullah SAW. Sejak itu, minatnya berubah secara total.

“Dia habiskan berjam-jam menonton video tentang Rasulullah SAW, para sahabat dan sirah Baginda. Malah dia siap bertanya dengan ChatGPT untuk mendalami setiap kisah,” kata Azizan.

Pengalaman itu mengingatkan beliau tentang pentingnya peranan ibu bapa dalam membentuk nilai anak-anak.

“Seperti mana Rasulullah SAW sebut, anak-anak itu umpama kain putih dan kita sebagai ibu bapa bertanggungjawab mencorakkannya,” tambahnya.

Azizan berharap agar Uthman dan semua anak-anak dijadikan anak soleh, yang berbakti kepada agama, ibu bapa dan ummah.

“Amin Ya Rabb,” ujarnya penuh harapan.

Setakat ini, hantaran tersebut menerima 851 reaksi, 67 komen dan 16 perkongsian semula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button