PERKIM imarahkan Ramadan dengan pelbagai pengisian rohani
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan terus mengimarahkan Ramadan dengan pelbagai pengisian rohani dan kebajikan menerusi program Ihya’ Ramadan yang memasuki hari ketiga penganjurannya di Surau Jumaat PERKIM, di sini, semalam.
Antara pengisian utama termasuk edaran kurma kepada pengguna jalan raya sekitar ibu kota, tazkirah bertemakan muhasabah diri, majlis berbuka puasa bersama asnaf dan mualaf serta pelaksanaan solat berjemaah dan tadarus al-Quran.
Seawal petang, sukarelawan PERKIM meneruskan tradisi tahunan mengagihkan kurma kepada orang ramai sebagai tanda kasih sayang dan pendekatan dakwah bil hal.

Program diteruskan dengan tazkirah bertajuk ‘Andai Ini Ramadan Terakhirku’yang disampaikan Tenaga Pengajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK), Dr Aisyah Jam’ian.
Beliau menegaskan ungkapan tersebut bukan sekadar retorik, sebaliknya seruan muhasabah yang menuntut perubahan sikap dan keutamaan hidup.
Menurutnya, pengulangan Ramadan setiap tahun adalah bukti kasih sayang Allah SWT yang memberi peluang kepada hamba-Nya kembali kepada fitrah dalam keadaan bertakwa.
“Pengulangan Ramadan bukan sekadar tradisi, tetapi bukti cinta Allah kepada hamba-Nya. Dia memberi peluang untuk kita kembali kepada-Nya dalam keadaan mulia dan bertakwa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kematian bukan sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya pintu menuju janji Allah kepada orang beriman.
Mengambil contoh pemergian beberapa individu yang pernah berkhidmat di surau berkenaan, beliau menyeru jemaah agar menghargai masa dan memperbanyakkan amal soleh.

Antara inti pati yang ditekankan termasuk keutamaan membaca al-Quran, berzikir dan menghadiri majlis ilmu.
Menurut beliau, walaupun tidak mahir membaca al-Quran, mendengar bacaan juga tetap mendatangkan rahmat dan ganjaran.
“Jika tidak mampu membaca, duduklah dan dengar. Rahmat Allah tetap turun kepada mereka yang menghadiri majlis al-Quran,” ujarnya memetik laporan di Facebook PERKIM Kebangsaan.
Beliau juga menegaskan setiap Muslim memiliki ‘kunci syurga’ melalui kalimah tauhid.
Justeru segala perbuatan, percakapan dan pemikiran hendaklah selari dengan tuntutan iman serta menjauhi perkara sia-sia dan permusuhan.
Tazkirah berkenaan diakhiri dengan peringatan mengenai tujuan sebenar ibadah puasa sebagaimana difirmankan Allah SWT dalam Al-Quran menerusi Surah al-Baqarah iaitu untuk melahirkan insan bertakwa.
Selesai tazkirah, kira-kira 200 jemaah terdiri daripada asnaf dan mualaf berbuka puasa dengan kurma dan kuih sebelum mendirikan solat Maghrib secara berjemaah.
Pek makanan nasi berlauk kemudian diedarkan kepada semua hadirin.
Solat fardu Isyak, tarawih dan witir dipimpin Tenaga Pengajar KPIPK, Ishak Othman manakala tugas bilal disempurnakan Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Usai solat, moreh mee goreng diagihkan kepada jemaah sebagai penghargaan kepada mereka yang terus memakmurkan surau.
Aktiviti tadarus al-Quran harian turut diteruskan di bawah pimpinan Ustaz Jais Mariappan yang membimbing peserta membaca dan mentadabbur ayat-ayat suci dengan tartil.
Penganjur mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi memastikan kelangsungan aktiviti kebajikan dan pengimarahan surau sepanjang Ramadan melalui akaun Surau Jumaat PERKIM sebagai usaha bersama memperkukuh dakwah dan kebajikan ummah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
