BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Penunggang motosikal maut selepas terbabas, jatuh dari ‘flyover’ DASH

SHAH ALAM – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas menyebabkan mangsa jatuh dari flyover pada ketinggian 21 meter di Susur 1/B 0.5 Lebuhraya Dash, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 4.45 petang ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha YZF-R15 hilang kawalan semasa melalui selekoh dan melanggar ‘divider’ flyover.

“Impak daripada perlanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh ke kawasan berumput di bawah flyover di Persiaran Pulau Angsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mangsa yang berusia 23 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kaki.

Beliau difahamkan dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Melayu Subang menuju ke bengkel servis motosikal di Kuala Lumpur.

Mohd Iqbal turut memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 012-2836851,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button