BERITA SEMASA

Pentaksiran Matriks Tahun 4 dilaksana 6-8 Oktober, libat empat subjek teras

PUTRAJAYA – Pentaksiran Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4) akan dilaksanakan selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Oktober ini dengan fokus kepada penguasaan mata pelajaran teras sebagai langkah intervensi awal pembelajaran.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan Lembaga Peperiksaan (LP), pentaksiran itu akan dimulakan pada Selasa (6 Oktober) dengan kertas Bahasa Melayu diikuti Bahasa Inggeris.

Bahasa Melayu akan berlangsung dari pukul 8.10 hingga 9.25 pagi, manakala Bahasa Inggeris dijadualkan dari pukul 10.10 hingga 11.25 pagi.

Kedua-dua kertas mempunyai tempoh menjawab selama satu jam 15 minit.

Pada hari kedua, Rabu (7 Oktober) murid akan menduduki pentaksiran Matematik pada sesi pagi sebelum meneruskan dengan Sains pada sesi kedua.

Tempoh setiap kertas juga ditetapkan selama satu jam 15 minit.

Bagi murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), pentaksiran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil akan diadakan pada Khamis (8 Oktober).

Bahasa Cina dijadualkan dari pukul 8.10 hingga 9.25 pagi, manakala Bahasa Tamil berlangsung dari pukul 10.10 hingga 11.25 pagi.

Setiap sesi pentaksiran akan didahului dengan tempoh 10 minit bagi membolehkan ketua pengawas mengarahkan murid mengisi butiran pada muka hadapan instrumen.

MPT4 merupakan instrumen pentaksiran baharu yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menilai tahap penguasaan murid dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, selain Bahasa Cina dan Bahasa Tamil bagi SJK.

Pentaksiran itu bukan bertujuan menggantikan peperiksaan awam, sebaliknya berfungsi sebagai mekanisme diagnostik untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid pada peringkat awal.

Terdahulu media melaporkan,
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan matriks pembelajaran akan memberi ruang kepada guru dan sekolah melaksanakan intervensi serta pengukuhan pembelajaran lebih awal sebelum murid melangkah ke peringkat pendidikan seterusnya.

Hasil pentaksiran tersebut dijangka digunakan bagi membantu KPM dan pihak sekolah merancang langkah penambahbaikan yang lebih berfokus dalam meningkatkan penguasaan literasi, numerasi dan kemahiran saintifik murid.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button