Pengasuh didakwa bunuh bayi jagaan
SEPANG – Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang bayi di bawah jagaannya di sebuah pangsapuri di Taman Putra Perdana, bulan lalu.
Tertuduh, Nur Syuhaida Jamalluddin, 32, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani melalui jurubahasa.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh mangsa Dhiya Falisha yang berumur setahun sembilan bulan, di F-G-08 Apartment Kiambang, Taman Putra Perdana, Puchong, dalam tempoh antara jam 9.31 pagi hingga 11.24 pagi, 18 Mei lalu.
Kesalahan terbabit didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Julai 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan laporan-laporan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




