Pendakwa raya buka kertas siasatan tragedi kebakaran bar di Crans-Montana
GENEVA – Pendakwa raya Switzerland telah membuka kertas siasatan berhubung kebakaran besar yang meragut kira-kira 40 nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 115 individu dalam satu insiden tragis di sebuah bar di resort ski mewah Crans-Montana ketika sambutan malam Tahun Baharu 2026.
Pendakwa raya tempatan, Beatrice Pilloud mengesahkan siasatan rasmi telah dimulakan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran yang berlaku di bar Le Constellation, sebuah premis hiburan popular dalam kalangan remaja di kawasan barat daya Switzerland itu.

“Masih banyak keadaan yang perlu diperjelaskan, namun senario paling berkemungkinan ketika ini ialah kebakaran besar yang mencetuskan letupan,” katanya dalam satu sidang media, sambil menegaskan bahawa adalah terlalu awal untuk mengulas sebarang kemungkinan kegagalan aspek keselamatan.
Menurut pihak berkuasa, kebakaran tercetus kira-kira pukul 1.30 pagi (waktu tempatan) ketika bar berkenaan dipenuhi pengunjung yang sedang meraikan ketibaan tahun baharu.
“Api merebak dengan pantas, mencetuskan suasana panik apabila orang ramai berebut-rebut menyelamatkan diri,” katanya.
Ketua Polis tempatan, Frederic Gisler berkata, seramai 40 orang dipercayai terbunuh manakala 115 lagi cedera dengan kebanyakan mangsa mengalami kecederaan parah akibat melecur.
Beliau memaklumkan proses mengenal pasti mangsa terkorban dan mengesahkan jumlah kematian muktamad dijangka mengambil masa berikutan keadaan mayat yang rentung dan melecur teruk.
“Pakar forensik kini menggunakan rekod pergigian dan ujian DNA bagi membantu proses pengecaman,” katanya.
Pihak berkuasa Itali turut memaklumkan bahawa enam rakyatnya masih dilaporkan hilang, manakala 13 lagi sedang menerima rawatan di hospital.
Kerajaan asing lain juga sedang berusaha mengesahkan sama ada rakyat mereka terlibat, namun berdepan cabaran besar berikutan tahap kecederaan mangsa.
Presiden Switzerland, Guy Parmelin menyifatkan kejadian itu sebagai antara tragedi paling buruk pernah dialami negara berkenaan, sambil memaklumkan bahawa kebanyakan mangsa yang terkorban terdiri daripada golongan muda.
Rakaman video yang disahkan oleh Reuters menunjukkan api marak menjulang dari bangunan bar tersebut, manakala saksi kejadian menggambarkan suasana kelam-kabut dan jeritan panik ketika usaha menyelamatkan diri dilakukan.
Mengikut rekod syarikat Switzerland, bar Le Constellation dimiliki oleh pasangan warga Perancis.
Setakat ini, pihak berkuasa menegaskan kebakaran tersebut tidak disyaki sebagai serangan, walaupun laporan awal menyebut kemungkinan berlakunya letupan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





