LUAR NEGARA

Mangsa kebakaran bar di Switzerland melecur, patah tulang akibat rempuhan

SION – Tragedi kebakaran yang mengorbankan puluhan nyawa di sebuah bar pusat peranginan ski di Switzerland bukan sahaja menyebabkan mangsa melecur, malah ramai turut mengalami patah tulang dan kecederaan serius akibat rempuhan serta panik melampau ketika cuba menyelamatkan diri.

Ketua Hospital Sion di wilayah Wallis, Eric Bonvin berkata, kebanyakan kecederaan dialami mangsa berpunca daripada pergelutan dan pertembungan sesama sendiri ketika melarikan diri daripada kebakaran yang berlaku secara pantas.

Anggota keselamatan berada di lokasi kebakaran bar tersebut.

Menurutnya, keadaan mangsa yang dirawat menunjukkan kemungkinan ada individu yang dihimpit orang ramai selain mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal dan panik berlebihan.

“Sebahagian mangsa turut cedera ketika cuba membantu menyelamatkan orang lain yang terperangkap di dalam bangunan,” katanya memetik laporan agensi berita antarabangsa.

Dalam kejadian awal pagi Khamis lalu, seramai 40 orang disahkan maut manakala 119 lagi cedera apabila bar Le Constellation di Crans-Montana terbakar ketika pengunjung sedang meraikan sambutan Tahun Baharu.

Bonvin berkata, seramai 55 mangsa yang parah dibawa ke Hospital Sion dalam tempoh beberapa jam selepas kebakaran berlaku.

“Terdapat kecederaan patah tulang serta pelbagai luka dalam kalangan mangsa yang tiba untuk mendapatkan rawatan.

“Ini termasuk golongan muda yang bertindak berani membantu mengeluarkan mangsa lain dari lokasi kejadian,” katanya lagi.

Beliau menjelaskan bahawa kecederaan akibat rempuhan dan sesak nafas sememangnya dijangka berlaku dalam situasi panik khususnya apabila mangsa dilihat terjatuh dari tangga ketika cuba keluar dari bangunan.

Bagaimanapun, Bonvin menegaskan siasatan terperinci oleh pihak berkuasa masih diperlukan bagi menentukan punca sebenar kematian semua mangsa dalam insiden berkenaan.

Setakat ini, 11 pesakit masih menerima rawatan di Hospital Sion, manakala 28 lagi dipindahkan ke hospital lain di Switzerland serta luar negara untuk rawatan lanjut.

Empat pesakit dilaporkan masih berada di unit rawatan rapi, manakala beberapa yang lain perlu menjalani pembedahan susulan kecederaan kompleks serta kesan terhidu asap.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button